Tahap kesihatan lebih utama: Thinaah

Thinaah (kiri) terpaksa melupakan dua kejohanan di Eropah pada Oktober ekoran proses pemulihan Pearly daripada kecederaan hamstring. Foto Agensi
Thinaah (kiri) terpaksa melupakan dua kejohanan di Eropah pada Oktober ekoran proses pemulihan Pearly daripada kecederaan hamstring. Foto Agensi
A
A
A

BEREGU wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah menyifatkan kesihatan lebih penting daripada cuba memburu slot beraksi pada pusingan akhir Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang dijadualkan berlangsung di Guangzhou, China pada 14 hingga 18 Disember ini.

Memandangkan Pearly masih lagi dalam proses pemulihan susulan kecederaan hamstring dialami pada Terbuka Jepun 2022 awal bulan ini, Thinaah berkata, mereka lebih rela untuk menyiapkan diri sepenuhnya bagi beraksi dalam mana-mana kejohanan daripada menggadaikan nasib beraksi dalam keadaan kurang cergas.

"Walaupun terpaksa melepaskan beberapa kejohanan, kami sanggup lakukannya asalkan dapat kembali berada pada tahap 100 peratus bersedia.

"Seeloknya, fokus pemulihan terlebih dahulu dan kita akan bagi yang terbaik sekiranya sudah bersedia sepenuhnya," katanya.

Pearly-Thinaah ketika ini berada di kedudukan ke-11 dalam ranking Jelajah Dunia BWF. Hanya lapan terbaik layak ke pusingan akhir di Guangzhou.

Dengan pengumuman BWF bahawa Terbuka China 2022 dan Terbuka Fuzhou China 2022 dibatalkan, peluang tampak tipis bagi Pearly-Thinaah untuk mengumpul mata beraksi pada pusingan akhir Jelajah Dunia BWF.

Bukan itu sahaja, status penyertaan mereka dalam dua kejohanan di Eropah iaitu Terbuka Denmark 2022 pada 18 hingga 23 Oktober diikuti Terbuka Perancis 2022 pada 25 hingga 30 Oktober yang masih belum pasti turut menyulitkan peluang mereka melayakkan diri ke Guangzhou.

Pearly berkata, nasib dirinya untuk beraksi pada dua kejohanan di Eropah yang menawarkan mata dalam ranking Jelajah Dunia BWF, bergantung kepada tahap penilaian dilakukan jurulatih pada minggu depan.

Artikel Berkaitan:

"Ketika ini saya masih cari keyakinan selain banyak lakukan pergerakan dalam gelanggang dan akan cuba bergandingan semula dengan Thinaah minggu depan," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky turut senada bahawa kesihatan pemain lebih penting daripada merisikokan diri mengejar mata ke Guangzhou memandangkan Jelajah Dunia BWF merupakan kejohanan yang berlangsung setiap tahun.

Rexy pada masa sama tidak meletakkan sasaran tinggi kepada Pearly-Thinaah sekiranya mereka berdua diberi lampu hijau beraksi pada Terbuka Denmark.

Pakar beregu dari Indonesia itu menjelaskan adalah tidak realistik baginya meletakkan sasaran tinggi kepada pasangan ke-11 dunia itu pada kejohanan berlangsung di Odense susulan situasi terkini dialami Pearly. - Bernama