[VIDEO] Mahkamah tempat cari kebenaran: Ebit Lew

Ebit Lew
Ebit Lew
A
A
A


TENOM - Pendakwah terkenal yang berhadapan dengan pertuduhan gangguan seksual, Ebit Lew menyifatkan mahkamah adalah tempat yang sesuai untuk mencari kebenaran.

Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 37, berkata, dia bersyukur perbicaraan yang berlangsung selama empat hari adalah hari yang dinantikannya sejak setahun yang lalu.

"Syukur Alhamdulillah, sampai ke mahkamah ini supaya mudah-mudahan dapat tahu kebenaran yang sebenarnya dan saya bersyukur sudah sampai mahkamah," katanya ketika ditemui pemberita pada Jumaat.

Beliau dalam pada itu menyatakan perasaan tidak sabarnya supaya perbicaraan kes itu dijalankan dengan segera.

"Ikut hati saya ada rasa sedih juga sebab kena menanti lagi kalau boleh saya nak teruskan Sabtu, esok saja sampai habis tetapi bukan saya menentukan.

"Peguam kami tadi, Ram dan lain-lain minta awal, minta tarikh paling awal November tapi pendakwa raya tak dapat tarikh itu. Mereka penuh sebab pendakwa raya dari Putrajaya, jadi kami setuju secara bersama pada Disember.

"Saya kalau boleh, memang nak sambung esok terus, nak bagi habis sebab setahun kena lalui perasaan ini. Jadi kena sambung lagi tunggu sampai Disember walaupun saya akan teruskan kerja-kerja lain, itulah hidup saya," ujarnya.



Sebelum itu, perbicaraan yang berlangsung bermula Selasa hingga Jumaat setakat ini telah memanggil tiga saksi daripada pihak pendakwaan termasuk seorang daripadanya ialah pendakwah, Firdaus Wong atau nama sebenarnya Firdaus Wong Wai Hung, 39.

Mahkamah Majistret pada sesi terakhir menetapkan tarikh baharu 20 hingga 22 Disember bagi meneruskan perbicaraan berkaitan kes yang dihadapinya.
Artikel Berkaitan:


Ebit berhadapan dengan 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Beliau diwakili pasukan peguam yang terdiri daripada Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut, Kimberly Ye Wanchuin dan Chen Wen Jye manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.

Sementara itu, pendakawan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Muhammad Ilmami Ahmad, Zahida, Adibah Saiful Bahri dan Nur Masrin Amalia.