'Mangsa' tidak wujud, SAR Gunung Senyum ditamatkan

Gunung Senyum. -Foto: Sumber internet.
Gunung Senyum. -Foto: Sumber internet.
A
A
A
KUANTAN - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dikatakan hilang di Hutan Gunung Senyum di Temerloh dekat sini, ditamatkan selepas 'mangsa' terlibat dipercayai tidak wujud.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Zulfadli Zakaria berkata, operasi SAR diaktifkan petang semalam selepas pihaknya dimaklumkan terdapat dua mangsa hilang di hutan itu.

Maklumat diterima daripada seorang lelaki berusia 29 tahun yang menghubungi talian kecemasan sekitar 5 petang semalam, memaklumkan dirinya sesat, sebelum berjaya ditemukan pasukan penyelamat kira-kira tiga jam kemudian.

"Mangsa yang dijumpai dalam keadaan keletihan memaklumkan telah meninggalkan rakannya yang sangat keletihan sementara dia cuba mencari bantuan. Bagaimanapun, usaha untuk mengesan rakan mangsa yang dikatakan berusia 20-an gagal.

"Siasatan awal mendapati mangsa yang mempunyai rekod sakit mental dipercayai mengalami gangguan dan rakannya yang didakwa turut sesat sebenarnya tidak wujud," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Artikel Berkaitan:


Selain bomba, operasi SAR juga disertai polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Perhutanan dan penduduk setempat. - Bernama.