Bajet 2023: Perkasakan Agropreneur Muda

Kerajaan perlu menambah peruntukan dan meneruskan bantuan geran Agroprenuer Muda menerusi Bajet 2023. - Foto Bernama
Kerajaan perlu menambah peruntukan dan meneruskan bantuan geran Agroprenuer Muda menerusi Bajet 2023. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan diharap dapat meneruskan usaha memperkasa program Agropreneur Muda dalam Bajet 2023, melihat kepada impaknya dalam melahirkan golongan belia berkecimpung dalam industri pertanian dan asas tani.

Usahawan tani Sabah, Azizul Julirin berkata, program Agropreneur Muda perlu diteruskan bagi menarik lebih ramai lagi golongan muda khususnya di negeri itu untuk terlibat dalam bidang keusahawanan pertanian sebagai persediaan menghadapi krisis keselamatan makanan di masa akan datang.

Sehubungan itu, Azizul yang juga aktivis belia berkata, kerajaan perlu menambah peruntukan sekali gus meneruskan bantuan geran Agroprenenur Muda menerusi Bajet 2023, dengan menambah baik kaedah permohonan secara dalam talian dan sistem pengesanan masa nyata.

"Ini perlu bagi mengatasi isu keciciran dan birokrasi permohonan yang memakan masa lama bagi mendapat maklum balas kelulusan,” katanya yang juga Pengarah Urusan Kundasang Aquafarm kepada Bernama.

Agropreneur Muda diperkenalkan pada 2016 menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi menggalakkan belia berusia 18 hingga 40 tahun dalam keusahawanan agro berasaskan rantaian nilai sektor pertanian seperti pengeluaran tanaman, ternakan, perikanan, industri makanan dan asas tani.

Program itu juga menjadi platform dalam mengubah persepsi belia terhadap sektor pertanian sebagai industri berdaya maju, selain meningkatkan pendapatan Agropreneur Muda melalui peningkatan produktiviti pengeluaran, kualiti produk, penggunaan teknologi dan inovasi serta penyediaan pasaran kompetitif.

Azizul merupakan produk Agropreneur Muda dan kini mengusahakan pertanian berasaskan sistem agroponik di Kundasang, Ranau sejak 2016 serta turut terlibat secara aktif dalam melatih lebih 2,500 usahawan tani sejak 2018, selain menjalankan latihan industri kepada 155 graduan daripada 14 institusi pengajian tinggi.

Ketua Peladang Muda, Pertubuhan Peladang Kawasan Kinabalu itu turut berharap Bajet 2023 memberi fokus mewujudkan lebih banyak projek Tanaman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di setiap Parlimen atau daerah dilengkapi kemudahan asas seperti jalan raya, air dan elektrik serta kemudahan pertanian terkini.

Artikel Berkaitan:

"Ia bagi membuka peluang kepada belia menyertai projek TKPM kerana kos penyewaan premis TKPM yang berpatutan membolehkan Agropreneur Muda memulakan pernigaan agromakanan sekali gus memperoleh pendapatan memuaskan tanpa pelaburan awal tinggi kepada projek pertanian berteknologi,” katanya.

Azizul berpendapat perlunya fungsi serta peranan Majlis Agropreneur Muda Kebangsaan diperkasakan dan diletakkan di bawah MAFI bagi membolehkan Agropreneur Muda mempunyai wadah untuk bebas bersuara dalam merancang aktiviti, menentukan hala tuju, melatih kepimpinan dan kemahiran berorganisasi.

Beliau turut mencadangkan kerajaan mewujudkan stok pengimbal di setiap negeri sebagai pusat penyimpanan makanan, selain membina estet makanan bagi pengeluaran produktiviti makanan besar-besaran untuk mengurangkan kebergantungan kepada import dan mencukupkan keperluan dalaman negara.

"Insentif dan geran khas juga perlu diberikan bagi pengeluaran biji benih sayuran dan pengusaha baja organik sebagai kaedah penjimatan serta pengurangan kos kepada petani sayuran tempatan yang banyak bergantung kepada biji benih dan baja dari luar negara,” tambahnya.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Sabah, Abqaree Fawwaz Abekan pula berharap Bajet 2023 antara lain memberi keutamaan kepada inisiatif pemerkasaan ekonomi belia termasuk dalam aspek kos sara hidup, insentif cukai dan kemudahan kewangan untuk memulakan perniagaan.

"Tahun 2023 dijangka menyaksikan cabaran ekonomi global akibat serangan inflasi, kelemahan nilai mata wang dan gangguan rantaian ekonomi. Tanpa sokongan kepada belia dalam isu-isu tersebut, ancaman besar bakal menimpa kepada ketahanan ekonomi belia,” katanya.

Abqaree turut mencadangkan kerajaan supaya melestarikan pendigitalan perniagaan kecil dengan peruntukan dana khas untuk tujuan pemasaran digital seperti iklan di laman sosial, pembangunan laman sesawang serta pemasaran e-mel bagi perusahaan kecil dan sederhana.

"Kerajaan juga dicadang melanjutkan moratorium perniagaan dan melonggarkan syarat pinjaman tanpa mengira kelas pendapatan serta memberi insentif seperti pengurangan cukai kepada majikan yang memberi peruntukan bantuan kepada pekerja wanita yang ‘miskin haid’ (wanita yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan kelengkapan haid seperti tuala wanita),” katanya.

Liputan serta kualiti perkhidmatan jalur lebar di Sabah juga perlu dipertingkat dan diperluaskan menerusi pembinaan menara baharu memandangkan kemudahan itu penting bagi memperkasa lagi ekonomi digital dalam kalangan belia termasuk di kawasan luar bandar, katanya. - Bernama