Pusat perkhidmatan rawatan kecantikan bakal dikawal selia

Alexander (kanan) memperkatakan sesuatu ketika mengadakan sesi libat urus bersama wakil VTCT baru-baru ini.
Alexander (kanan) memperkatakan sesuatu ketika mengadakan sesi libat urus bersama wakil VTCT baru-baru ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) meneliti keperluan untuk mengawal selia pusat perkhidmatan rawatan kecantikan.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menerusi kenyataan pada Jumaat memaklumkan, industri tersebut dilihat mempunyai potensi dengan jangkaan nilai pasaran bernilai lebih dari AS$999 juta menjelang 2026.

"Melihat kepada potensi industri ini yang mampu memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara, KPDNHEP mengambil langkah proaktif untuk meneliti kepelbagaian aspek dalam industri rawatan kecantikan.

"Ia antaranya melibatkan permintaan pengguna, rantaian nilai, penggunaan teknologi dalam trend semasa rawatan kecantikan dan keselamatan pengguna," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, satu sesi libat urus KPDNHEP bersama United Kingdom’s Vocational Training Charitable Trust (VTCT) telah diadakan.

Alexander (tengah) ketika mengadakan sesi libat urus bersama wakil VTCT dalam pertemuan ketika lawatan kerja ke UK baru-baru ini.
Alexander (tengah) ketika mengadakan sesi libat urus bersama wakil VTCT dalam pertemuan ketika lawatan kerja ke UK baru-baru ini.

Menurutnya, dalam perbincangan itu, antara aspek penting yang diberi perhatian adalah pendaftaran pengusaha pusat kecantikan dan pekerja dengan memastikan mereka mendapat latihan kemahiran kecantikan daripada badan yang diiktiraf selain penggunaan mesin yang didaftarkan.

Beliau berkata, turut dibincangkan adalah melindungi pengguna melalui perlindungan insurans dan bahan rawatan yang selamat.

Artikel Berkaitan:

"Kita melihat bagaimana ia boleh diaplikasikan di Malaysia selain memperhalusi keperluan perundangan dan kawal selia secara pentadbiran bagi memastikan industri kecantikan di Malaysia dapat memberikan keyakinan kepada pengguna melalui rawatan yang selamat.

Sesi libat urus KPDNHEP bersama wakil VTCT di UK baru-baru ini.
Sesi libat urus KPDNHEP bersama wakil VTCT di UK baru-baru ini.

"Kesemua usaha yang dijalankan ini diharap dapat membantu memperkukuhkan industri kecantikan yang bukan sahaja dapat menjana pendapatan kepada negara tetapi juga menjamin kualiti keselamatan pada tahap yang tinggi kepada pengguna," katanya.

VTCT adalah sebuah pusat latihan kecantikan yang diiktiraf oleh Ofqual, sebuah agensi kerajaan United Kingdom (UK) yang melaporkan secara terus kepada Parlimen bagi urusan kelayakan dan perundangan melibatkan latihan vokasional termasuk latihan rawatan kecantikan.