Keputusan tarikh PRU15, hala tuju hubungan UMNO-Pas hari ini?

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Tarikh pembubaran Parlimen dan pilihan raya umum ke-15(PRU15) masih menjadi teka teki, membuatkan tumpuan terus diberikan terhadap perkembangan berkaitan.

Terbaharu, Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur sekali lagi dijangka bakal menjadi tumpuan media berikutan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dijadual berlangsung pada Jumaat.

Meskipun Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tiada agenda khusus dalam mesyuarat tersebut, penentuan tarikh PRU15 antara yang disebut-sebut sebagai perkara utama yang akan dibincangkan dalam pertemuan itu nanti.

Ini kerana, sebelum ini dilaporkan bahawa perjumpaan lima pemimpin tertinggi UMNO adalah bagi membincangkan berkenaan PRU15 yang pada awalnya dijadualkan 17 September.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, mesyuarat itu akan diadakan jam 8 malam hari ini dan MKT akan bermesyuarat pada malam sama.

Mohamad bagaimanapun berkata, beliau akan membentangkan laporan jawatankuasa pengurusan mengenai keadaan semasa berkaitan persiapan parti.

"Terdapat 53 kawasan bahagian yang dikenal pasti berada dalam keadaan kurang selamat,"katanya seperti dilaporkan pada Khamis.

Namun apa yang lebih jelas, hasil pertemuan itu dijangka akan mendedahkan perkembangan terkini hubungan UMNO dengan Pas.

Artikel Berkaitan:

Mengenai perkembangan perbicaraan kes gangguan seksual mengaitkan pendakwah terkenal Ebit Lew, Pada Khamis, pendakwah, Firdaus Wong memberitahu Mahkamah Majistret Tenom bahawa Multiracial Reverted Muslims (MRM) menerusi sayap wanitanya turut membantu wanita yang dizalimi termasuk gangguan seksual daripada tokoh yang berpengaruh dalam masyarakat.

Ia susulan MRM disebut oleh saksi pertama bagi kes berkenaan iaitu Mohd Fairuz Abu, 37, bahawa dia mencadangkan kepada wanita itu (mangsa) untuk berhubung terus kepada peguam MRM.

“Antara wanita yang dibantu oleh MRM adalah pengadu (iden- titi tidak boleh didedahkan atas arahan mahkamah) yang telah mengadu kepada sahabat saya, Akhi Fairuz (Mohd Fairuz) bahawa telah menerima mesej-mesej serta gambar-gambar lucah daripada Ebit Lew,” jelas Firdaus.

Perbicaraan akan disambung semula pada 9.30 pagi Jumaat dengan meneruskan keterangan daripada Firdaus sebagai saksi ketiga dalam kes itu.

Satu lagi tumpuan dijangka terarah kepada perkembangan kejayaan pihak berkuasa menyelamatkan seorang ejen jualan kosmetik berusia 36 tahun yang dilapor dilarikan sekumpulan lelaki dari kediamannya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, Kelantan 13 September lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kejayaan menyelamatkan wanita itu adalah hasil bantuan dan kerjasama pihak berkuasa Thailand.

Susulan itu, keluarga mangsa dilapor terkejut dan masih tidak percaya wanita itu berjaya ditemui dalam selamat selagi tidak bertemu mata meskipun polis sudah mengeluarkan kenyataan.

Justeru, adakah kemungkinan akan berlaku babak-babak pertemuan antara keluarga dan mangsa pada Jumaat atau terdapat perkembangan lain yang akan didedahkan? sama-sama kita nantikan.