Anggota ADB dialu manfaatkan sinergi pasaran modal Islam

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

MALAYSIA mengalu-alukan negara anggota Bank Pembangunan Asia (ADB) untuk menyertai usaha negara dalam memanfaatkan sinergi pasaran modal Islam bagi mencapai ekonomi yang mampu mendepani cabaran iklim.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, sebagai contohnya adalah terbitan sukuk kelestarian berdaulat pertama Malaysia dalam dolar AS oleh kerajaan Malaysia pada April 2021 bernilai AS$800 juta (AS$1=RM4.63), yang terlebih langgan sebanyak 6.4 kali di seluruh dunia.

"Malaysia menyedari akan kepentingan peralihan yang adil ke arah kemampanan,” katanya semasa Sesi Perniaagaan Lembaga Pentadbir Mesyuarat Tahunan ADB ke-55 hari ini.

Selain itu, katanya, Malaysia mengalu-alukan usaha pemudahan ADB ke arah ekonomi berdaya tahan iklim dengan pembiayaan iklim kumulatif berjumlah AS$100 bilion bagi tempoh 2019-2030 untuk negara membangun yang menjadi anggotanya.