Pendakwa rayu tempoh penjara lebih lama terhadap Lokman Adam

 Lokman Adam (tengah). - Foto Bernama.
Lokman Adam (tengah). - Foto Bernama.
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Peguam Negara memohon hukuman penjara lebih lama daripada sebulan dikenakan oleh Mahkamah Tinggi terhadap bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam atas kesalahan menghina mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Dusuki Mokhtar memberitahu Mahkamah Rayuan pada Khamis bahawa hukuman penjara sebulan itu adalah tidak memadai bagi melindungi integriti sistem kehakiman.

Justeru, pihak pendakwaan memohon hukuman penjara minimum tiga bulan bagi menunjukkan keseriusan kesalahan itu, katanya ketika berhujah di hadapan panel tiga hakim diketuai hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Kamaludin Md Said bersama Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Nordin Hassan.

"Pertama sekali, ini adalah kes kepentingan awam. Campur tangan terhadap pentadbiran keadilan adalah serius. Kami dengan rendah hati berhujah bahawa hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi adalah tidak mencukupi.

"Mereka yang berkelakuan seperti ini diharapkan dihukum dan menerima hukuman yang direka untuk menghalang orang lain daripada melakukan perbuatan sama,” katanya dalam rayuan balas pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

Pada 15 Julai lalu, Lokman dijatuhkan hukuman penjara sebulan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah, selepas didapati bersalah menghina mahkamah kerana mengugut saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membabitkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Lokman didakwa mengugut dengan bertindak membuat laporan polis terhadap bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, menjurus kepada intimidasi dan ancaman serta menghina mahkamah.

Dusuki berkata, dalam laporan polis itu, pesalah menghina mahkamah (Lokman) membuat dakwaan lanjut bahawa Amhari Efendi yang mengelirukan tertuduh (Najib) dan bersekongkol dengan ahli perniagaan buruan Low Taek Jho atau Jho Low untuk memangsakan Najib.

Artikel Berkaitan:

"Lokman selanjutnya memetik beberapa bukti yang dikemukakan di mahkamah dan memanipulasinya dalam laporan polis untuk menggambarkan bahawa tertuduh (Najib) menjadi mangsa Amhari Efendi. Perbuatan ini merupakan intimidasi terhadap saksi tersebut dan juga saksi pendakwaan lain,” katanya.

Sementara itu, peguam bela Lokman, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berhujah bahawa anak guamnya hanya menjalankan tanggungjawabnya sebagai orang awam apabila membuat laporan polis terhadap Amhari Efendi.

"Laporan polis yang dibuat oleh anak guam saya terhadap saksi tidak boleh dianggap sebagai tindakan menghina mahkamah. Anak guam saya membuat laporan itu selepas saksi (Amhari Efendi) mengaku menerima wang daripada ahli perniagaan buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

"Bagaimana ini boleh menjadi ugutan?” kata peguam itu dalam rayuan Lokman terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Rayuan kemudian menetapkan 3 Oktober ini untuk pengurusan kes.

Pada 22 Oktober 2019, Mahkamah Tinggi memberikan kebenaran kepada Tan Sri Tommy Thomas yang merupakan Peguam Negara ketika itu, untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman kerana menghina mahkamah sebanyak dua kali pada 25 September 2019.

Pada 14 Januari 2020, Hakim Sequerah menolak permohonan responden (Lokman) untuk mengetepikan kebenaran yang diperoleh Thomas dan kegagalan beliau dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Thomas memulakan prosiding komital terhadap Lokman dan memohon perintah supaya Lokman dipenjara atau didenda atas tindakannya menghina mahkamah.

Menurut Thomas pada 25 September 2019, Lokman dalam satu temu bual mengeluarkan perkataan berbaur ancaman atau ugutan terhadap Amhari Efendi kerana memberi keterangan pada perbicaraan bekas perdana menteri itu di Mahkamah Tinggi.

Thomas berkata, pada hari sama, Lokman membuat laporan polis terhadap Amhari Efendi, yang juga saksi pendakwaan kelapan, berhubung keterangan saksi itu pada perbicaraan berkenaan.

Katanya, matlamat atau tujuan tindakan responden ialah untuk mengganggu dan menakut-nakutkan Amhari Efendi, saksi lain dan mana-mana saksi berpotensi untuk tampil memberi keterangan terhadap Najib dalam perbicaraan kes 1MDB. - Bernama