Pedofilia: Jangan anggap pelaku gila

Kamal Affandi Hashim
Kamal Affandi Hashim
A
A
A

Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim mendedahkan penjenayah seks kanak-kanak bukanlah individu tidak siuman sebaliknya rata-rata 'raksasa seks' itu telah merancang aktiviti terkutuk mereka itu.

Katanya, jenayah dan penderaan sama ada secara fizikal atau seksual ke atas kanak-kanak kebanyakannya dilakukan setelah dirancang bukannya spontan.

Kata Kamal Affandi, biasanya persiapan dan percubaan dibuat oleh penjenayah seksual untuk keseronokan.

“Jenayah seksual bukan jenayah berlaku secara spontan sebaliknya telah dirancang dengan teliti dan perkara ini kita harus sedar.

Mereka membuat strategi dan melakukan jenayah itu apabila ada peluang.

"Pengakuan daripada pelaku jenayah seksual kanak-kanak mendedahkan mereka melakukan perkara itu untuk hiburan. Mereka lakukan untuk keseronokan kerana kanak-kanak dan bayi tidak mampu melawan serta boleh diugut untuk tidak mengadu kepada orang lain.

“Kalau kita anggap mereka tidak siuman sehingga sanggup melakukan jenayah menyayat hati sebegitu ke atas bayi dan kanak-kanak, sebenarnya kita yang tidak siuman.

“Meletakkan penjenayah seksual kanak-kanak ini sebagai tidak siuman atau gila sebenarnya memberikan lesen untuk melindungi mereka. "Kalau gila, hukuman yang dikenakan sekadar dihantar ke hospital untuk tujuan pemantauan pemulihan mental,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kamal Affandi berkata, dalam meneliti jenayah seperti itu, ada tiga faktor utama perlu diberi perhatian iaitu mangsa, pelaku dan juga respons masyarakat.

“Paling membimbangkan ialah respons masyarakat yang pada awalnya mengutuk kejadian itu namun tidak mengambil apa-apa pengajaran untuk melindungi anak mereka atau membuat laporan kepada polis," katanya.