Tujuh ahli sindiket along lakukan khianat diberkas

Kamarul Zaman menunjukkan buku dan dokumen yang mengandungi butiran senarai peminjam along pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru pada Khamis
Kamarul Zaman menunjukkan buku dan dokumen yang mengandungi butiran senarai peminjam along pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru pada Khamis
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan tujuh ahli sindiket along yang bertindak ganas dan melakukan khianat terhadap mangsa dan keluarga selepas gagal membayar pinjaman dalam beberapa serbuan di sekitar Kota Tinggi dan Iskandar Puteri pada 14 September lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada enam lelaki dan seorang wanita berusia antara 20 hingga 32 tahun pada jam 9 pagi hingga 7.30 petang.

"Semua yang ditahan adalah warga tempatan dan kejayaan memberkas mereka adalah hasil risikan dan maklumat orang awam.

"Menerusi dalam serbuan ini polis turut merampas pelbagai barangan antaranya sembilan telefon bimbit pelbagai jenis, 11 buah sim kad, empat buah kereta dan 12 buah buku salinan dokumen peminjam.

"Siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai mula beroperasi sejak Oktober tahun lalu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Khamis.

Jelasnya, modus operandi sindiket pinjaman wang tanpa lessen itu adalah dengan mengiklankan tawaran pinjaman dalam Facebook dan pengedaran kad perniagaan menggunakan ayat-ayat pinjaman wang berlesen yang sah bagi memperdayakan peminjam.

Kamarul Zaman memberitahu, kadar pinjaman yang dibenarkan adalah RM1,000 sehingga RM50,000 bergantung kepada dokumen peminjam manakala faedah pinjaman yang dikenakan adalah sebanyak 30 peratus dengan bayaran yang perlu di buat adalah secara mingguan.

Menurutnya, jika peminjam gagal membuat bayaran, sindiket tersebut akan mengugut dan seterusnya melakukan perbuatan khianat simbah cat bagi menakutkan peminjam dan keluarga supaya membayar balik wang pinjaman dengan kadar lebih tinggi.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dengan penangkapan tujuh ahli sindiket tersebut, pihak polis telah berjaya menyelesaikan 43 kes kejadian simbah cat, ugutan jenayah dan halangan salah di daerah Batu Pahat, Muar, Kluang, Pontian, Segamat dan wilayah Iskandar.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, katanya.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 308 individu ditahan polis atas pelbagai kesalahan dadah, selain merampas pelbagai jenis dadah dianggar bernilai lebih RM40,000 menerusi Op Tapis Khas bermula jam 1 pagi, 26 September hingga jam 12 tengah malam Rabu.

Kata Kamarul Zaman, dalam operasi yang dijalankan di seluruh negeri ini, pihaknya menfokuskan beberapa lokasi panas seperti jeti-jeti nelayan, Projek Perumahan Rakyat (PPR), port penagih dan kawasan Felda.

"Operasi itu bertujuan untuk mengambil tindakan ke atas semua aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan panas itu. Dalam tempoh operasi selama tiga hari ini, seramai 410 orang diperiksa dan daripada jumlah itu seramai 308 ditahan atas pelbagai kesalahan dadah.

"Mereka ditahan termasuk 54 bagi kes bekalan, 47 kerana memiliki dadah dan 207 penagih dadah. Antara yang ditahan 30 orang yang akan diambil tindakan mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, manakala terdapat 23 tokan diambil tindakan di bawah Seksyen 3(1) ADB (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985. Terdapat 52 orang dikehendaki juga ditahan," katanya.

Tambahnya, polis merampas heroin seberat 924.26 gram, syabu seberat 122.31 gram, 13.10 gram ganja, 12 biji pil eramin 5, tiga biji pil yaba, 1.67 gram pil psykotropik, 407 biji pil ekstasi, 140 gram serbuk ekstasi dan 2.65 liter air ketum.

"Semuanya dianggarkan bernilai RM40,903.50. Bekalan dadah ini jika terlepas ke pasaran boleh digunakan seramai 5,711 penagih dadah," katanya.