Mydin, Cadbury bantu masyarakat kurang bernasib baik

Ahimmat (tengah) bersama Boon Siew (kiri) memberikan sumbangan kepada salah seorang penerima.
Ahimmat (tengah) bersama Boon Siew (kiri) memberikan sumbangan kepada salah seorang penerima.
A
A
A

SHAH ALAM - Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) dan Mondelez International (Malaysia) melalui jenamanya, Cadbury Dairy Milk (Cadbury) telah bekerjasama untuk membantu masyarakat yang kurang bernasib baik.

Mydin dalam satu kenyataan berkata, kerjasama itu dilaksanakan menerusi inisiatif Menyentuh Hati Dengan Pembelian Ikhlas dan dana yang terkumpul daripadanya diberikan dalam bentuk bekalan makanan kepada enam rumah kebajikan di Malaysia selama lima bulan.

“Enam rumah kebajikan yang akan menerima bekalan makanan ialah Persatuan Pemulihan Dalam Komuniti Bangi, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Sinar Harapan Shah Alam, Pusat Kebajikan dan Penjagaan Kanak-Kanak Istimewa Kuala Lumpur, Pusat Jagaan Persatuan Disleksia Sarawak, Persatuan Kebajikan Orang Kurang Upaya Xi Le Er di Johor dan Pusat Jagaan Down Syndrome di Kelantan,” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, inisiatif itu merupakan lanjutan daripada kempen #CadburyHuggingBar bertujuan memberi inspirasi dan galakan kepada rakyat Malaysia agar saling berkongsi serta membantu antara satu sama lain.

“Inisiatif ini juga menggalakkan rakyat Hulurkan Tangan dan Cairkan Hati yang Tersayang. Antara inisiatif khas dalam kempen ini ialah sumbangan 50 sen kepada Inisiatif Mydin Prihatin untuk setiap dua pembelian produk Cadbury di mana-mana cawangan Mydin.

“Jumlah kutipan itu akan diagihkan kepada rumah kebajikan terpilih di Kuala Lumpur, Selangor, Sarawak, Johor dan Kelantan dalam bentuk bekalan makanan untuk lima bulan,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Mydin, Ahimmat Mydin Mohamed berkata, Mydin fokus untuk memberikan keceriaan dan memastikan kebajikan komuniti melalui inisiatif Mydin Prihatin 'Kami Bawa Senyuman'.

Ahimmat (tengah) bersama Boon Siew (dua dari kanan) memberikan sumbangan kepada salah seorang penerima.
Ahimmat (tengah) bersama Boon Siew (dua dari kanan) memberikan sumbangan kepada salah seorang penerima.

Artikel Berkaitan:

“Kami berbesar hati menjalin kerjasama dengan Cadbury dan mengajak orang ramai khususnya pelanggan untuk turut serta menjayakan usaha membantu golongan memerlukan.

“Sebagai syarikat korporat, Mydin sentiasa bekerjasama dengan rakan strategik kami bagi meneruskan usaha membantu masyarakat yang kurang bernasib baik,” tambah Ahimmat.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran Malaysia, Singapura dan Eksport AMEA, Mondelez International, Arpan Sur berkata, usahasama itu telah menghasilkan hubungan yang bermakna dengan rakyat Malaysia di seluruh negara dan membantu rumah kebajikan terpilih.

“Kami berterima kasih kepada Mydin atas perkongsian mereka serta usaha berterusan untuk menyokong masyarakat setempat,” katanya.

Pada Selasa, Cadbury dan Mydin menganjurkan pelbagai aktiviti dan penyampaian cek di pusat Persatuan Pemulihan Dalam Komuniti Bangi.

Majlis itu dihadiri oleh Ahimmat dan Pengurus Kanan Pemasaran Coklat, Malaysia dan Singapura, Mondelez International, Ng Boon Siew serta sukarelawan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!