Warga emas tertipu pakej umrah tidak wujud

Mohd Wazir Mohd Yusof
Mohd Wazir Mohd Yusof
A
A
A

KUANTAN - Hasrat seorang wanita warga emas untuk menunaikan umrah sejak tahun lalu tidak kesampaian apabila tertipu dengan tawaran pakej umrah tidak wujud.

Mangsa berusia 77 tahun dari Jengka membuat bayaran RM4,000 kepada seorang wanita dipercayai ejen syarikat bersama wang tambang bas RM150 pada 21 September tahun lalu.

Dia juga turut menyerahkan pasport namun selepas urusan itu selesai, suspek terus menghilangkan diri dan gagal dikesan hingga laporan polis dibuat semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek sebelum ini berjanji akan menyerahkan beg keperluan umrah dan memulangkan kembali pasport mangsa namun dia gagal berbuat demikian.

Menurutnya, mangsa membuat laporan polis semalam bagi mendapatkan semula wang dan pasportnya.

“Warga emas ini antara mangsa yang terpedaya dengan tawaran pakej mengerjakan umrah tidak wujud yang pernah dilaporkan di negeri ini.

“Polis membuka kertas siasatan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sebelum ini seramai 19 individu sekitar daerah Temerloh turut menjadi mangsa membabitkan kerugian lebih RM41,000.

Artikel Berkaitan:

Salah seorang mangsa berusia 68 tahun yang juga seorang peniaga membuat laporan polis 18 Mac lalu mendakwa menjadi mangsa pakej umrah yang ditawarkan kepada ahli wanita sebuah parti politik tajaan individu bergelar datuk.

Mangsa hanya perlu membayar RM2,200 dan baki kos berjumlah RM5,000 lagi ditaja penaja berkenaan.

Mangsa bagaimanapun membatalkan hasratnya selepas tarikh perjalanan menunaikan umrah ditunda namun bayaran yang sepatutnya dikembalikan gagal dipulangkan.