Ibu, teman lelaki didenda sebabkan kecederaan anak

No Image Caption
A
A
A

MELAKA - Gara-gara membiarkan teman lelaki memukul anak kandungnya menggunakan tali pinggang sehingga cedera, seorang wanita dan kekasihnya itu masing-masing didenda RM8,000 di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.

Tertuduh, Tan Meei Yun, 30, dan teman lelakinya, Chua Wai Hon, 38, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama seorang yang lain telah mendedahkan kanak-kanak perempuan yang ketika kejadian berusia lima tahun kepada bahaya sehingga menyebabkan cedera.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 11.30 pagi di sebuah rumah di Champor Garden City, Banda Hilir di sini, pada 14 Ogos tahun lalu.

Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, kejadian berlaku selepas kanak-kanak itu telah menolak adiknya berusia satu tahun kerana berebut permainan blok.

Kejadian dipercayai disaksikan oleh tertuduh lelaki yang bertindak memukul mangsa berkali-kali menggunakan tali pinggang di tangan, belakang badan dan juga kepala sehingga meninggalkan kesan serta berdarah.

Ibu mangsa kemudian telah mengambil gunting lalu menyerahkan kepada teman lelaki untuk menggunting rambut mangsa bagi menutup luka di kepala.

Artikel Berkaitan:

Peguam B.E Lim yang mewakili tertuduh, merayu agar hukuman terhadap tertuduh diringankan dengan alasan tertuduh lelaki menghidap penyakit bipolar dan masih mendapatkan rawatan hospital.

Sementara wanita itu hanya bekerja sebagai pelayan restoran dengan gaji harian RM80 selain menanggung dua anaknya.

Timbalan Pendakwa Raya, N Sivashangari memohon hukuman berat diberikan memandangkan mangsa merupakan seorang kanak-kanak, malah anak kandung kepada salah seorang tertuduh.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM8,000 dan bon berkelakuan baik RM3,000 selama dua tahun dan RM1,000 bercagar bagi khidmat masyarakat selama 60 jam selama enam bulan.