Farm in the City anjur karnival sempena ulang tahun ke-10

Pengunjung boleh bermesra dengan burung yang terdapat di FITC, Seri Kembangan, Selangor.
Pengunjung boleh bermesra dengan burung yang terdapat di FITC, Seri Kembangan, Selangor.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Farm in the City (FITC) akan menganjurkan karnival selama tiga hari yang penuh keseronokan bermula 8 hingga 10 Oktober 2022 sempena sambutan ulang tahunnya ke-10 pada tahun ini.

Pengasasnya, Datuk Allan Phoon berkata, karnival itu terbuka kepada orang ramai dan membolehkan mereka mengenali hidupan liar melalui perarakan haiwan yang menakjubkan serta haiwan terbaharu di FITC iaitu kerbau kerdil bernama Bubu.

“Pelbagai aktiviti menarik akan diadakan sepanjang tiga hari itu antaranya pertunjukkan silap mata, badut dan penampilan maskot istimewa serta aneka makanan yang dijual,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, FITC yang terletak di Seri Kembangan juga akan mengadakan promosi istimewa kepada pelanggannya iaitu diskaun harga tiket.

“Pengunjung dewasa boleh menikmati diskaun berjumlah RM10 daripada harga tiket mereka manakala kanak-kanak berpeluang masuk ke dalam kandang dengan hanya RM10 untuk masa terhad sahaja,” katanya.

Allan berkata, sejak penubuhannya 10 tahun lalu, FITC menjadi tumpuan utama rakyat Malaysia untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kehidupan dan kepentingan memelihara habitat semula jadi haiwan.

“Bermula sebagai sebuah ladang, FITC kini menjadi zoo haiwan peliharaan sekali gus sebagai daya tarikan utama pelancong ke negeri Selangor. Malah, ia juga berperanan dalam penyelidikan dan pemuliharaan alam semula jadi dan hidupan liar.

Artikel Berkaitan:

Bubu menjadi antara daya tarikan utama karnival FITC yang akan diadakan pada 8 hingga 10 Oktober 2022.
Bubu menjadi antara daya tarikan utama karnival FITC yang akan diadakan pada 8 hingga 10 Oktober 2022.

“Sepanjang 10 tahun beroperasi, pasti ada cabaran dalam mengendalikan FITC. Ia telah membantu dan membolehkan kami belajar serta membangunkannya dengan cara yang lebih baik.

"Kami mengenal pasti peluang lain yang telah meningkatkan dan mengembangkan perniagaan kami,” tambah Allan.

Allan berkata, berpengalaman selama 20 tahun, beliau mencatatkan pelbagai kejayaan termasuklah Taman Hidupan Liar Sunway Lagoon dan Lost World of Tambun Petting Zoo.

Rakun antara haiwan yang terdapat di FITC, Seri Kembangan, Selangor.
Rakun antara haiwan yang terdapat di FITC, Seri Kembangan, Selangor.

“FITC mempunyai pasukan profesional dalam projek alam semula jadi dan haiwan. Misi FITC ialah menyampaikan dan mendidik orang ramai mengenai habitat, tingkah laku dan taburan geografi haiwan dalam landskap global.

“FITC mempromosikan pendidikan hidupan liar dan alam sekitar melalui program yang direka dengan teliti untuk pelajar tempatan dan luar negara dari semua peringkat umur mengenai tema pemuliharaan dan pemeliharaan secara berterusan,” katanya.

Beliau berkata, haiwan yang terdapat di FITC bebas dari sangkar, semua haiwan dibenarkan berkeliaran bebas dalam kandang khas dan membolehkan pengunjung mendekati dengan persekitaran semula jadi mereka.

“Orang ramai dijemput hadir untuk bersama-sama memeriahkan FITC,” katanya.

Allan (tiga dari kiri) bersama kakitangan FITC menunjukkan antara haiwan yang terdapat di FITC.
Allan (tiga dari kiri) bersama kakitangan FITC menunjukkan antara haiwan yang terdapat di FITC.