JPJ cekup 'ulat' di KLIA 2

Sebuah kereta jenis Nissan Sentra ditahan bersama pemandunya kerana menawarkan khidmat kereta sewa haram di KLIA 2, Sepang baru-baru ini.
Sebuah kereta jenis Nissan Sentra ditahan bersama pemandunya kerana menawarkan khidmat kereta sewa haram di KLIA 2, Sepang baru-baru ini.
A
A
A

SEPANG - Dua pemandu yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa secara haram atau 'ulat' di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2), di sini ditahan dalam operasi khas baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, dua pemandu itu ditahan dalam operasi berasingan pada Selasa dan Rabu lalu.

"Tangkapan pertama berjaya menahan lelaki berusia 43 tahun yang memandu sebuah kereta jenis Nissan Almera.

"Siasatan awal mendapati 'ulat' tersebut mengenakan tambang kepada seorang penumpang tempatan dari KLIA 2 ke Setia Alam, Shah Alam dengan kadar tambang sebanyak RM150 yang akan dibayar setelah sampai ke destinasi," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata, tangkapan kedua turut berjaya menahan kereta jenis Nissan Sentra yang dipandu lelaki berusia 32 tahun.

Katanya, pemandu itu dipercayai mengenakan tambang kepada dua penumpang tempatan dari KLIA 2 ke Chinatown, Kuala Lumpur dengan kadar tambang sebanyak RM110 yang akan dibayar setelah sampai ke destinasi.

"JPJ turut menyita dua kereta ini untuk tindakan lanjut kerana menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen atau secara haram," ujarnya.

Tegasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, orang awam dinasihatkan agar menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan di KLIA dan KLIA 2 atau pun membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing.