[VIDEO] Ibu dua anak dituduh terima wang deposit tanpa lesen

Tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Sungai Petani atas dakwaan menerima wang deposit sebanyak RM3,000 tanpa lesen sah.
Tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Sungai Petani atas dakwaan menerima wang deposit sebanyak RM3,000 tanpa lesen sah.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang ibu dua anak didakwa di Mahkamah Sesyen di sini kerana menerima wang deposit tanpa lesen sah, pada Julai lalu.

Tertuduh, Norsyazwany A Rahim, 23, dari Kampung Landak Hilir, Kupang, Baling didakwa menerima wang deposit sebanyak RM3,000 daripada Syakirah Ab Rahman, 31, tanpa suatu lesen sah yang diberikan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758).

Perbuatan itu dilakukan pada jam lebih kurang 8.12 malam bertempat di Bank Islam Cawangan Lagenda Heights di sini, 23 Julai 2022.

Disebabkan itu, tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh di hukum bawah Seksyen 137(2) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak lebih RM50 juta atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadzly Hassan manakala tertuduh diwakili Peguam Mohamad Hafiz Jalaludin.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon agar dibicarakan.

Hakim Roslan Hamid membenarkan tertuduh diikat jamin dengan jumlah sebanyak RM5,000.

Artikel Berkaitan:

Sebutan semula kes ditetapkan pada 15 November depan.

Sebelum ini, wanita itu berhadapan 22 pertuduhan di Mahkamah Sesyen Sik pada 12 September lalu kerana menerima wang deposit daripada individu berlainan berjumlah keseluruhan RM876,375 tanpa lesen sah sekitar Baling sejak April lalu.

Dia turut dituduh di Mahkamah Sesyen Alor Setar pada 27 September lalu, atas dua pertuduhan menerima wang deposit berjumlah RM110,500 tanpa lesen sah antara Jun hingga Ogos lalu.