Hasil siasatan buku Tommy Thomas wajar didedahkan

Ahmad Zahid (kiri) mahu laporan hasil siasatan terhadap buku memoir bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas bertajuk My Story: Justice in the Wilderness oleh Pasukan Petugas Khas (PPK) didedahkan kepada umum.
Ahmad Zahid (kiri) mahu laporan hasil siasatan terhadap buku memoir bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas bertajuk My Story: Justice in the Wilderness oleh Pasukan Petugas Khas (PPK) didedahkan kepada umum.
A
A
A

SHAH ALAM - Laporan hasil siasatan terhadap buku memoir bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas bertajuk My Story: Justice in the Wilderness oleh Pasukan Petugas Khas (PPK) yang ditubuhkan kerajaan wajar didedahkan kepada umum.

Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, laporan itu mesti didedahkan kerana rakyat Malaysia perlu mengetahui perihal sebenar membabitkan bekas Peguam Negara lantikan politik tersebut.

Menurut beliau, laporan tersebut juga berpotensi mendedahkan tentang isu pendakwaan terpilih yang berlaku semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Jangan dipendamkan terlalu lama kerana dibimbangi kontroversi `di manakah kertas siasatan kes Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali' boleh berulang.

“Ia juga mendedahkan tentang kemungkinan berlaku campur tangan urusan kehakiman oleh seorang bekas Perdana Menteri untuk kepentingan politiknya,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesyorkan supaya laporan PPK berhubung siasatan ke atas buku tersebut tidak didedahkan kepada umum.

Ujar bekas Timbalan Perdana Menteri itu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Ogos tahun lalu malah meminta agar kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat pendedahan buku Tommy.

Jelasnya, RCI itu amat penting kepada negara kerana ia mengundang tanda tanya mengenai campur tangan politik dalam institusi Peguam Negara, Kehakiman dan Keselamatan.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zahid bagaimanapun berharap dakwaan bahawa Peguam Negara kerajaan sekarang mengesyorkan laporan akhir siasatan tersebut tidak didedahkan kepada umum sekadar desas-desus.

“Kita juga berharap Kabinet yang akan dibentangkan hasil siasatan tersebut dalam tempoh terdekat tidak berada dalam sebarang kedudukan untuk menutup fakta tertentu,” katanya.

“Kebimbangan ini timbul kerana kita faham sebahagian anggota Kabinet kerajaan campuran sedia ada ialah bekas anggota Kabinet kerajaan PH.

“Anggota Kabinet terbabit pernah 22 bulan bekerjasama dan `bermuafakat' bersama Tommy, maka dikhuatiri mungkin ada perkara yang bagi mereka wajib diselindungi,” jelas beliau.