‘Claw machine' haram

Permainan kanak-kanak claw machine difatwakan haram di Indonesia.
Permainan kanak-kanak claw machine difatwakan haram di Indonesia.
A
A
A

JAKARTA - Majlis Ulama Indonesia (MUI) menyatakan mesin permainan kaut atau ‘claw machine‘ difatwakan haram dalam agama Islam.

Ketua Fatwa MUI, Asrorun Niam menyatakan permainan yang disukai kanak-kanak itu difatwakan oleh lembaga yang menguruskan hal ehwal halal dan haram pada 3 Oktober 2007.

"Ya ia haram kerana fatwa sudah dinyatakan yang berkait dengan permainan tersebut," katanya yang dihubungi Kompas.com.

Asrorun menjelaskan bahawa permainan itu menjadi haram kerana asasnya membabitkan kaedah cuba nasib untuk mendapatkan hadiah patung mainan yang disediakan.

“Permainan yang mengeluarkan duit untuk mendapatkan faedah atau hadiah, termasuk cara kaedahnya seperti mencuba nasib adalah haram.

"Permainan ini sudah pun dianggap mengandungi unsur judi dan selain itu permainan dikategorikan haram adalah Medal Game, Pusher Machine, dan Mesin Redemption," katanya.

Justeru, pemilik permainan ini juga diwajibkan memantaunya supaya ia tidak digunakan sebagai taruhan atau perjudian.

Sebelum ini, dua organisasi masyarakat (ORMAS) Islam terbesar Indonesia, Nahdlatul Ulama (NU) dan Muhammadiyah melarang permainan sama yang disahkan haram kerana bersifat perjudian. - Agensi

Artikel Berkaitan: