Hanya pengamal perubatan berdaftar bawah MPM diperakui pakar

 Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

SHAH ALAM - Kesemua pengamal perubatan perlu menjalani penilaian oleh jawatankuasa khas Majlis Perubatan Malaysia (MPM) jika mahu diperakui sebagai pakar perubatan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau yang juga Presiden MPM berkata, tiada mana-mana individu boleh memperakukan diri sebagai pakar perubatan dalam sesuatu bidang jika mereka tidak berada dalam daftar perubatan MPM.

Menurutnya, antara syarat utama untuk mendaftar di bawah MPM ialah individu tersebut perlu mempunyai kelayakan kepakaran diiktiraf, menghadiri latihan kepakaran dalam bidang kepakaran di institusi diiktiraf dan membuktikan bahawa dia layak serta mempunyai akhlak baik.

“Kesemua pendaftaran pakar perlu menjalani penilaian oleh jawatankuasa khas MPM yang akan meneliti kesemua syarat-syarat di atas sebelum seseorang pengamal diperakui sebagai pakar perubatan dan dapat mengamal di negara ini.

“Sehubungan itu, tiada mana-mana orang atau pihak yang boleh memperakukan diri mereka dan mengamal sebagai seorang pakar perubatan dalam sesuatu bidang jika nama mereka tidak berada di dalam Daftar Perubatan MPM,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dr Noor Hisham berkata, perkara itu adalah selaras dengan Seksyen 14C Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012), yang memperuntukkan bahawa seseorang berhak didaftarkan dan mengamal sebagai pakar dalam sesuatu bidang kepakaran di dalam Daftar MPM jika memenuhi syarat terkandung dalam Seksyen 14B Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012).

Beliau berkata, bagi tujuan verifikasi atau penyemakan status pendaftaran seorang pengamal perubatan yang berdaftar dengan MPM, semakan boleh dibuat melalui laman web MPM iaitu www.mmc.gov.my di bawah pautan Search Medical Register dan National Specialist Register.

“Tujuan MPM menyediakan kemudahan dalam talian ini adalah bagi membantu orang awam dalam memilih hanya pengamal perubatan dan pakar perubatan yang bertauliah sahaja memberi perkhidmatan kesihatan serta rawatan perubatan di negara ini, termasuk dalam hal rujukan perkara berkaitan perubatan dan kesihatan awam.

Artikel Berkaitan:

“Dengan ini, dinasihatkan agar orang awam tidak terkeliru atau terpedaya dengan dakwaan mana-mana pihak yang mengaku diri mereka sebagai seorang pengamal perubatan atau pakar perubatan berdaftar di Malaysia,” ujar beliau.