NS cadang beri lot tanah kepada generasi kedua, ketiga Felda

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan bercadang memberikan lot-lot tanah rizab kerajaan negeri di kawasan Felda kepada generasi kedua dan ketiga tanah rancangan berkenaan bagi bertujuan membina rumah.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, generasi kedua dan ketiga ini akan membina rumah itu mengikut kemampuan dengan kos ditanggung sendiri.

"Usaha ini diyakini akan mengalakkan lebih ramai anak muda tinggal di kampung, boleh mengusahakan ladang sedia ada.

"Kita sedia maklum hari ini kekurangan tenaga buruh, mereka boleh bangunkan kawasan sendiri dengan perniagaan masing-masing serta tinggal dengan keadaan lebih selesa dan membangunkan sendiri Felda," katanya dalam sidang akhbar selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri Sembilan pada Rabu.

Beliau berkata, kerja mengukur lot-lot tanah ini akan bermula dalam masa terdekat dan paling lewat awal tahun depan sebelum ia diberikan kepada generasi kedua dan ketiga ini. Apa yang penting mereka akan bina rumah sendiri mengikut kemampuan mereka.

"Sebagai permulaan kita telah mengenal pasti satu kawasan dulu iaitu di Felda Palong 12 melibatkan tanah seluas 5.8 hektar.

"Setiap lot berkeluasan 4,000 kaki persegi yang akan dimanfaatkan kira-kira 100 pemohon dalam kalangan generasi berkenaan.

"Majlis pecah tanah dijangka dilaksanakan pada bulan Oktober ini dan Ia merupakan projek perintis sebelum dikembangkan ke kawasan Felda yang lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu,Aminuddin turut menjelaskan syarat-syarat pemilikan lot tanah itu belum diputuskan dan ia akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Aminuddin bagaimanapun memaklumkan keutamaan diberikan anak peneroka yang tinggal bersama ibu bapa di kawasan tersebut telah berkahwin serta masih tidak memiliki rumah sendiri dan ia akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.