Lima remaja tak bersekolah ditahan pecah masuk sekolah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Polis menahan lima remaja yang sudah tidak bersekolah selepas dipercayai terlibat dua kes pecah sekolah di kawasan Gelang Patah di sini pada bulan ini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, sepasukan anggota pasukan khas Balai Gelang Patah dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri memberkas semua lelaki itu pada Selasa.

"Suspek berusia antara 15 hingga 17 tahun dan sudah tidak bersekolah. Empat suspek diberkas di Kampung Melayu, Gelang Patah pada jam 11 malam Selasa, manakala seorang lagi ditahan semalam.

"Mereka memecah masuk Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Nusa Perintis dan SK Taman Nusantara pada 19 dan 26 September lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, modus operandi mereka ialah dengan mengumpil pintu dan memotong grill sebelum menyelongkar ruangan pejabat serta bilik guru di sekolah terbabit.

Menurutnya, berdasarkan kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh telah mengenal pasti lima suspek berkenaan.

"Antara kerugian ialah kehilangan tab Huawei 10 inci dan wang tunai tabung sekolah melibatkan kerugian lebih kurang RM2,000. Kes masih dalam siasatan," katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan permohonan reman diperoleh selama tujuh hari.

Artikel Berkaitan: