Dakwaan ejen jualan cuba culik kanak-kanak hanya salah faham

Polis telah memanggil tiga ejen jualan itu untuk diambil keterangan susulan laporan polis dibuat suri rumah terbabit jam 3.50 petang pada Selasa.

Antara gambar yang ditularkan mendakwa berlaku cubaan culik kanak-kanak di Ajil, Hulu Terengganu.
Antara gambar yang ditularkan mendakwa berlaku cubaan culik kanak-kanak di Ajil, Hulu Terengganu.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Dakwaan tular mengatakan berlaku cubaan culik melibatkan seorang kanak-kanak berusia empat tahun oleh jurujual jualan langsung yang datang ke sebuah rumah di Kampung Menerong, Ajil di sini pada Selasa adalah tidak benar.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati perkara itu berlaku akibat salah faham di antara ibu kanak-kanak terbabit dengan sekumpulan jurujual peralatan gas memasak.

Beliau berkata, pihak polis telah memanggil tiga ejen jualan itu untuk diambil keterangan susulan laporan polis dibuat suri rumah terbabit jam 3.50 petang pada Selasa.

"Siasatan ke atas jurujual terbabit mendapati tiada unsur atau cubaan menculik kanak-kanak sebagaimana didakwa.

Antara gambar yang ditularkan mendakwa berlaku cubaan culik kanak-kanak di Ajil, Hulu Terengganu.
Antara gambar yang ditularkan mendakwa berlaku cubaan culik kanak-kanak di Ajil, Hulu Terengganu.

"Polis turut menyiasat latar belakang ejen jualan itu yang dikenal pasti tinggal di sebuah rumah sewa di Marang. Hasil siasatan ke atas mereka yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu mendapati kumpulan itu adalah wakil jurujual syarikat peralatan keselamatan tong gas, "katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Adli berkata, pihak polis telah memberi amaran kepada jurujual berkenaan supaya menghentikan aktiviti jualan dari rumah ke rumah bagi mengelak salah faham.

"Orang rama juga dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai maklumat tular di media sosial serta mengelak menyebarkan berita yang tidak sahih," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Selasa lalu tular di media sosial seorang suri rumah berusia 29 tahun mendakwa anak perempuannya yang berusia empat tahun cuba dilarikan sekumpulan individu tidak dikenali yang mengunjungi rumahnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari itu, kumpulan jurujual yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita terbabit dikatakan menawarkan peralatan gas memasak namun ditolak suri rumah berkenaan.

Jurujual wanita itu juga didakwa secara tiba-tiba mahu menarik tangan kanak-kanak perempuan itu namun kanak-kanak terbabit sempat berpaut kepada ibunya.