Perak FC sah beraksi di Liga Super 2023

Sheikh Mohd Nasir. Foto Agensi.
Sheikh Mohd Nasir. Foto Agensi.
A
A
A

[DIKEMAS KINI] PERAK FC boleh menarik nafas lega apabila sah akan beraksi dalam saingan Liga Super pada musim depan selepas berjaya melepasi syarat yang ditetapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL)

Ia susulan pengumuman badan bebas, First Instance Body (FIB) bahawa tiada aksi play off bagi merebut dua slot Liga Super 2023 kerana beberapa kelab Liga Amatur M3 (AFL) gagal menepati kriteria kelab profesional.

Keputusan itu dibuat selepas mereka menyemak laporan berkaitan permohonan pelesenan kelab AFL yang berakhir pada 17 September di mana hanya tujuh kelab yang membuat permohonan.

Kelab itu ialah PIB FC, Harini FT, BRM FC, Imigresen FC, Armed Forces FC, Kinabalu Jaguar FC dan Manjung City FC.

Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir menjelaskan, daripada tujuh kelab tersebut, hanya dua kelab Liga M3 2022, PIB FC dan Harini FT yang menunjukkan perkembangan yang baik.

Bagaimanapun katanya, mereka masih tidak melengkapkan kesemua kriteria kelab profesional bagi mendapatkan lesen pada tarikh akhir permohonan.

“Berdasarkan peraturan semasa, hanya dua kelab teratas AFL boleh bersaing dalam perlawanan play off. PIB FC menunjukkan prestasi yang sangat baik dalam pertandingan dengan menamatkan saingan sebagai juara, namun penyerahan dokumentasi mereka tidak lengkap," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ini bermakna enam pasukan dari Liga Premier secara automatik akan dinaikkan ke Liga Super selaras dengan rombakan saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim depan.

Artikel Berkaitan:

Rombakan itu akan menyaksikan saingan Liga Premier ditangguhkan dan pasukan yang bersaing dalam Liga Super ditambah dari 12 kepada 18 pasukan.

Enam kelab yang akan naik pangkat ke Liga Super 2023 ialah Kelantan FC, Kuching FC, Kelantan United, PDRM FC, UiTM FC dan Perak FC yang ketika ini menghuni tangga kesembilan Liga Premier.

Bagaimanapun ia tidak melibatkan kelab feeder yang akan beraksi dalam saingan Liga Simpanan.

Feeder kelab pula ialah Johor Darul Ta'zim II, Terengganu FC II, Selangor FC 2 dan pasukan Projek FAM-MSN akan bersaing dalam Liga Simpanan.

Dalam pada itu, Sheikh berharap PIB dapat mengekalkan kemajuannya dalam dan luar padang kerana percaya kelab itu berpotensi untuk membuat perancangan lebih baik untuk musim akan datang.

“Hari ini FC pula gagal menduduki kelompok dua terbaik Liga M3 serta tidak dapat melengkapkan kriteria permohonan pelesenan yang diperlukan untuk melayakkan mereka beraksi di play off," katanya.

Katanya, FIB tetap menghargai usaha dan komitmen PIB FC dan Harini FT serta kelab lain dalam proses untuk melengkapkan permohonan berkenaan.

"Ini adalah proses yang baru untuk kelab AFL dan kami percaya ia dapat memberikan mereka gambaran tentang kriteria yang diperlukan untuk setiap pasukan mencapai kemajuan ke Liga Super musim 2024.

“Justeru saya percaya, MFL (Liga Bolasepak Malaysia) pasti akan terus membantu kelab-kelab AFL tahun depan untuk melengkapkan proses bagi mendapatkan lesen seterusnya berkembang menjadi kelab profesional tempatan,” katanya.