Status Pearly-Thinaah di Terbuka Denmark masih samar

Pearly (kanan) dan Thinaah. - Foto BAM
Pearly (kanan) dan Thinaah. - Foto BAM
A
A
A

PELUANG beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah untuk beraksi di Terbuka Denmark pada 18 hingga 23 Oktober ini, masih samar-samar berikutan kecederaan dialami Pearly di Terbuka Jepun.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky berkata, pihaknya masih menilai tahap kesediaan Pearly bagi menghadapi kejohanan itu kerana masih lagi dalam proses pemulihan susulan kecederaan hamstring dialaminya awal bulan ini.

Tadi, Pearly sudah boleh melompat cuma tidak mampu lakukan banyak pergerakan atas gelanggang tapi ini soal keyakinan sahaja kerana secara keseluruhan, kemajuan pemulihannya sangat menakjubkan.

“Kita akan lihat status Pearly sehingga hujung bulan ini. Jika tahap kepercayaan dirinya stabil, kami mungkin akan hantar mereka (Terbuka Denmark), jika tidak mereka tarik diri dan cuba sertai Terbuka Hylo atau Terbuka Australia,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan pada Selasa.

Untuk rekod, Terbuka Hylo di Saarbrucken, Jerman akan berlangsung pada 1 hingga 6 November manakala Terbuka Australia di Sydney pula dijadual pada 15 hingga 20 November.

Sementara itu, Rexy mengesahkan juara Kejohanan Antarabangsa Syed Modi 2022, Anna Cheong Ching Yik-Teoh Mei Xing menarik diri dari Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis (25 hingga 30 Oktober).

Jelas Rexy, kecederaan lutut dialami Anna ketika sesi latihan dua minggu lalu menyebabkan pemain itu terpaksa melupakan hasrat beraksi di dua kejohanan Eropah berkenaan.

“Anna salah lompat ketika sesi latihan, beliau perlu rehat sekurang-kurangnya enam minggu. Sekiranya sempat sembuh, kami akan cuba masukkan mereka berdua dalam Terbuka Australia,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: