Sungai Pengkalan Datu cetek, jangka selesai Jun tahun depan

Keratan akhbar Sinar Harian pada Isnin. (Gambar kecil: Kamal)
Keratan akhbar Sinar Harian pada Isnin. (Gambar kecil: Kamal)
A
A
A

KOTA BHARU - Kesukaran lebih 300 nelayan untuk keluar ke laut akibat Sungai Pengkalan Datu yang cetek di Sabak di sini dijangka dapati diatasi pada Jun tahun hadapan.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Kamal Mustapha berkata, jabatan itu melaksanakan kerja-kerja pengorekan sungai di kawasan tersebut menerusi tiga projek yang dijangkakan memerlukan masa selama 18 bulan.

Katanya, kerja pengorekan sungai itu dibuat melalui Projek Mendalamkan Beberapa Sungai Utama di daerah Kota Bharu dan Tumpat, Kelantan termasuk Pulau Gajah dengan belanja sebanyak RM5.3 juta melibatkan kuantiti kelodak berjumlah 19,570 meter padu (m3).

“Kedua, Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan iaitu pengorekan muara Sungai Pengkalan Datu sepanjang 2.8 kilometer (km).

Peta kawasan kerja-kerja dan pengorekkan pasir di Sungai Pengkalan Datu, Kota Bharu oleh JPS.
Peta kawasan kerja-kerja dan pengorekkan pasir di Sungai Pengkalan Datu, Kota Bharu oleh JPS.

“Ketiga, Projek Pengorekan muara Sungai Pengkalan Datu serta kerja-kerja berkaitan yang menelan belanja sebanyak RM489,000 dengan kuantiti kelodak berjumlah 16,000m3,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan lebih 72 bot dan perahu kolek milik kira-kira 300 nelayan di Pantai Sabak terkandas akibat lumpur kerana sungai cetek di Pangkalan Sabak, Pulau Gajah.

Masalah bersilih ganti berlaku sejak 10 tahun lalu menyebabkan pendapatan mereka terjejas sehingga 50 peratus kerana bot dan perahu kolek tidak dapat dibawa keluar ke laut untuk menangkap ikan.

Artikel Berkaitan:

Kata Kamal lagi, kali terakhir kerja penggalian dibuat adalah pada tahun 2017 melalui kerja sebut harga manakala tiga projek pengorekan terkini tersebut sudah bermula pada 23 Disember 2021 dan dijangka siap pada Jun 2023.

“Pihak JPS Kelantan pernah menerima aduan berkait masalah sungai cetek yang dibuat oleh Pertubuhan Komuniti Sabak bertarikh 28 Mac 2021.

“Sungai menjadi cetek disebabkan oleh pemendapan pasir dan kelodak serta mendapan muara berikutan arus yang sentiasa bergerak membawa mendapan itu lalu terkumpul selain mendapan pasir dari pantai juga memberi impak kepada sungai menyebabkan menjadi cetek,” katanya.