JBPM kenal pasti 186 kawasan berisiko berlaku kepala air

Mohamad Hamdan
Mohamad Hamdan
A
A
A

GERIK - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengenal pasti sebanyak 186 kawasan berisiko berlakunya fenomena kepala air pada musim Monsun Timur Laut (MTL) membabitkan kawasan air terjun dan sungai di seluruh negara.

Ketua pengarahnya, Datuk Seri Mohamad Hamdan Wahid berkata, daripada keseluruhan kawasan, Sabah mencatatkan jumlah lokasi berisiko berlaku kepala air tertinggi iaitu 52 lokasi, diikuti oleh Kedah sebanyak 24 lokasi.

"Langkah berjaga-jaga sudah dibuat oleh beberapa jabatan seperti Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi persedian mengenal pasti lokasi terlibat.

"Mereka (jabatan tersebut) telah mengambil langkah-langkah mitigasi seperti pemasangan pengesan pergerakan (motion detector) dan sistem amaran awal (pre-warning) bagi memudahkan anggota keselamatan yang terlibat bertindak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Pemantauan Latihan dan Persediaan JBPM Menghadapi Fenomena MTL di Jeti Awam, Tasek Banding di sini pada Selasa.

Mohamad Hamdan berkata, JBPM memberi tumpuan kepada kawasan kepala air yang terdapat kependudukan kerana dikhuatiri akan meragut nyawa penduduk.

"Kita fokus tentang perkara ini kerana jika ada kependudukan seperti yang berlaku di Titi Hayun di kaki Gunung Jerai, Kedah di mana ada penduduk dan melibatkan kematian di kawasan tersebut.

"Pihak JMG telah meletakkan pengesan pergerakan dan sistem amaran awal yang jelas agar tidak disalahfahami oleh penduduk dan mereka dapat bertindak dengan segera,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Seramai enam orang terkorban dalam kejadian kepala air di Gunung Jerai pada 18 Ogos tahun lepas akibat dihanyutkan arus deras dan dihempap tanah runtuh, selain kediaman, premis dan pengusaha chalet pelancongan desa terkesan ekoran fenomena itu. - Bernama