[VIDEO] Bengkel Seri Sembilan perjelas pendapatan OKU RM250

Tangkap layar Sinar Harian 27 September. (Gambar kecil Harunarrsheed)
Tangkap layar Sinar Harian 27 September. (Gambar kecil Harunarrsheed)
A
A
A

SEREMBAN - Pengurus Bengkel Seri Sembilan, Harunarrsheed Mohd Ibrahim menjelaskan timbul kekeliruan berhubung pendapatan purata RM250 yang diterima pekerja Orang Kurang Upaya (OKU) yang bekerja membuat sampul surat di situ.

Menurutnya, pendapatan itu merupakan elaun semasa yang diterima oleh mereka semasa menjalani latihan.

"Apabila melepasi tahap kelayakan, mereka akan diberi peluang untuk membuat pekerjaan mengikut tahap kemampuan dan mereka mampu memperoleh pendapatan antara RM900 ke RM1,200.

"Mereka juga menerima Elaun Pekerja Cacat sebanyak RM450 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap bulan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurutnya, pihak bengkel turut menyediakan kemudahan asrama termasuk makan serta minum secara percuma manakala bagi yang sudah berkeluarga disediakan kuarters.

Selain itu katanya, secara keseluruhan, bengkel berkenaan menempatkan seramai 50 OKU terdiri daripada pelbagai kategori.

"Mereka membuat pekerjaan yang sesuai dengan tahap kemampuan mereka seperti menanam cendawan tiram, cili padi, membela ayam, menjahit dan kerja-kerja pembersihan.

"Kami merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sentiasa peka dengan OKU dan pendapatan diterima digunakan untuk memajukan bengkel seluas lima hektar selain turut mendapat bantuan JKM," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, dengan pendapatan diperoleh juga, pihak bengkel berusaha untuk memajukan dan mempelbagaikan peluang pekerjaan untuk OKU.