[VIDEO] MN Negeri Sembilan hantar memorandum kepada Tuanku Muhriz

MN Negeri Sembilan menghantar memorandum kepada Tuanku Muhriz.
MN Negeri Sembilan menghantar memorandum kepada Tuanku Muhriz.
A
A
A

SEREMBAN - Muafakat Nasional (MN) Negeri Sembilan menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bagi meluahkan rasa kesal terhadap pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) di negeri ini dalam tempoh lima tahun ini.

Pengerusi MN Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin berkata, dalam memorandum berkenaan turut menyenaraikan beberapa isu berbangkit dikaitkan dengan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

"Antara isu itu ialah berhubung kedudukan Exco Kesenian, Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Mohamad Nazaruddin Sabtu yang mengalami masalah kesihatan sejak 2018, namun kekal menjawat jawatan berkenaan sehingga kini.

"Tindakan mengekalkan Mohamad Nazaruddin seolah-olah kerajaan negeri meremehkan aspek kesenian, kebudayaan dan adat istiadat Melayu negeri," katanya kepada pemberita di luar pekarangan Istana Hinggap di sini, sebelum menyerahkan memorandum berkenaan pada Khamis.

Selain itu, beliau berkata, terdapat juga isu membabitkan dakwaan penyelewengan wang zakat berjumlah RM7 juta yang dibayar sebagai pampasan kepada kakitangan yang disifatkan sebagai tidak wajar.

"Kami telah menyerahkan dokumen berkaitan kes penyelewengan ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini termasuk laporan polis untuk siasatan pihak berkuasa berkenaan," katanya.

Badrul Hisham yang juga dikenali sebagai Che`gu Bard turut mendakwa prestasi kerajaan negeri ketika ini sangat meragukan.

"Kerajaan negeri pada 2019 merancang membina Hospital Neurosains di Pedas, Rembau dan dijadual siap pada akhir tahun lalu, namun tapak projek itu kini dipenuhi semak samun dan bangunan yang ingin dibina tidak wujud," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, penyerahan memorandum berkenaan adalah untuk sembah maklum kepada Tuanku sebagai maklumat yang sudah diketahui umum dan pihaknya menuntut Aminuddin memberikan penjelasan terhadap isu berkenaan.

"Penyerahan memorandum, dengan harapan Tuanku dapat memberi teguran sebelum baginda menandatangani pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Siapalah kita hendak mencadangkan kepada Tuanku kerana kita pun tak layak. Tapi kami ingin mengemukakan masalah yang dihadapi Negeri Sembilan di bawah kepemimpinan Aminuddin sepanjang tempoh lima tahun pemerintahan PH ini," katanya.