PRU15: PRM Pulau Pinang sasar lima kerusi Parlimen, 15 DUN

Yee Cheu
Yee Cheu
A
A
A

BAYAN LEPAS - Parti Rakyat Malaysia (PRM) mensasarkan lima kerusi Parlimen dan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Ketua PRM Pulau Pinang, Teh Yee Cheu berkata, lima kerusi Parlimen yang disasarkan itu ialah Bukit Bendera, Jelutong, Bayan Baru, Batu Kawan dan Nibong Tebal manakala kerusi DUN adalah yang berada di bawah kelima-lima kawasan Parlimen tersebut.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah itu berkata, sehingga kini, parti itu sudah mengenal pasti separuh daripada calon yang akan bertanding dan ia akan diumumkan kelak.

"Kita belum memuktamadkan lagi calon yang akan bertanding di kelima-lima kerusi Parlimen dan 15 kerusi DUN. Setakat ini, baharu separuh sahaja (yang sudah dimuktamadkan). Apabila semua sudah siap, kita akan umumkan.

"Kita akan letak calon yang berusia lebih daripada 40 tahun, berpengalaman, bersih, matang dan mempunyai kerjaya yang bagus. Kita akan mendekati pengundi dengan cara kita sendiri, melalui calon yang matang," katanya pada sidang akhbar di sini pada Selasa.

Yee Cheu yang dahulunya ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) berkata, dengan adanya manifesto yang lebih jelas, pihaknya yakin PRM mampu memberi saingan sengit kepada parti lain dalam PRU15 nanti.

"Kelebihan kita adalah berdiri atas platform sendiri tanpa bergabung dengan mana-mana parti lain. Kita ada manifesto dan hala tuju yang jelas iaitu membantu rakyat dalam menyelesaikan masalah mereka.

"Saya sendiri akan bertanding di Parlimen Bukit Bendera dan DUN Air Putih. Tujuan saya bukan untuk menandingi sesiapa tetapi lebih kepada memberi pilihan kepada rakyat untuk memilih bakal pemimpin mereka," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Koordinator Parlimen Bayan Baru PRM, Ravinder Singh berkata, pihaknya berharap agar Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pembiayaan Dana Politik yang dilaporkan sudah siap akan dibentangkan dalam sidang Parlimen Oktober ini.

"Kes-kes mahkamah sebelum ini menunjukkan RUU Akta Pembiayaan Dana Politik ini amat penting untuk dibentangkan di Parlimen sekali gus segera digubal sebagai undang-undang. Politik di negara ini semakin nazak dengan kes rasuah.

"Kita amat berharap agar RUU ini dibentangkan dalam sidang Parlimen akan datang ini (Oktober) bagi memastikan tiada ahli politik yang menggunakan kuasa mereka untuk mendapat derma dengan nilai yang besar kononnya untuk dana politik," katanya.

Sebelum ini, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengumumkan bahawa RUU Akta Pembiayaan Dana Politik sudah siap setelah perbincangan telah dilakukan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Peguam Negara sebanyak dua kali berhubung usaha untuk melaksanakan RUU berkenaan.

Selain itu, Ravinder turut memohon agar SPRM diletakkan di bawah kuasa Parlimen dan bukannya Perdana Menteri.

Katanya, ia bagi memastikan siasatan yang dijalankan tidak terarah kepada mana-mana pihak dan lebih telus terutamanya jika ia melibatkan ahli politik negara.