Solat jenazah ghaib untuk Sheikh Yusuf al-Qaradawi

Sheikh Yusuf al-Qaradawi dilaporkan meninggal dunia di Qatar pada Isnin.
Sheikh Yusuf al-Qaradawi dilaporkan meninggal dunia di Qatar pada Isnin.
A
A
A

ARAU - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail melimpahkan kurnia dan perkenan agar dilaksanakan solat jenazah ghaib ke atas ulama tersohor, Sheikh Yusuf al-Qaradawi di seluruh masjid di negeri ini selepas solat Zuhur, esok.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, memandangkan solat jenazah ke atas Rahimullah dimaklumkan akan dilaksanakan pada waktu Asar di Qatar pada Selasa, maka pelaksanaan solat jenazah ghaib di seluruh negeri Perlis diselaraskan sejurus selepas solat zuhur pada Rabu.

"Sehubungan itu, adalah digalakkan kepada seluruh umat Islam dalam negeri Perlis untuk menyertai solat berkenaan sepertimana yang telah diperkenankan berdasarkan sunnah baginda Rasullullah S.A.W,” titah baginda menerusi kenyataan majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah, Tuanku Syed Sirajuddin dijadualkan berangkat menunaikan solat Zuhur dan solat jenazah ghaib di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, Kangar.

Dalam pada itu, solat jenazah ghaib turut akan diadakan secara serentak di tiga masjid utama negara selepas solat Isyak malam ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

Solat jenazah ghaib itu akan diadakan di Masjid Negara, Kuala Lumpur serta Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini.

Dalam kenyataan pada Selasa beliau berkata, Jakim turut menjemput semua majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri melalui masjid dan surau di seluruh negara agar turut sama mengadakan solat jenazah ghaib buat Almarhum.

"Semoga jenazah Almarhum diampunkan dan dirahmati oleh ALLAH SWT jua," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sheikh Yusuf al-Qaradawi, 97, meninggal dunia di Qatar pada Isnin, lapor Agensi Anadolu memetik akaun Twitter rasminya pada Isnin.

Jakim menzahirkan ucapan takziah atas kembalinya ke rahmatullah Ketua Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa (IUMS) itu semalam dan pemergiannya merupakan suatu kehilangan yang amat besar buat dunia.

"Jasa Almarhum khususnya dalam dunia keilmuan, pemikiran dan dakwah sangat memberi kesan terhadap perkembangan dan kemajuan umat di seluruh dunia," kata Hakimah.

Beliau berkata kerajaan Malaysia pernah menganugerahkan Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa kepada Sheikh Yusuf al-Qaradawi atas jasa dan sumbangan beliau sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan pada 1431H bersamaan 2009M. - Bernama