Kapal angkasa kecil hentam asteroid Dimorphos

Televisyen NASA menyiarkan imej detik-detik sebelum sebuah kapal angkasa kecil menghentam asteroid Dimorphos pada jarak lebih 10 juta kilometer dari bumi pada Isnin. - Foto AFP
Televisyen NASA menyiarkan imej detik-detik sebelum sebuah kapal angkasa kecil menghentam asteroid Dimorphos pada jarak lebih 10 juta kilometer dari bumi pada Isnin. - Foto AFP
A
A
A

LAUREL - Sebuah kapal angkasa kecil Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) milik Amerika Syarikat (AS) berjaya menghentam asteroid Dimorphos dalam ujian yang bersejarah pada Isnin.

Ujian itu diadakan bagi mengetahui keupayaan manusia untuk menghalang objek kosmik daripada merosakkan kehidupan di bumi.

Hentaman itu berlaku pada jam 7.14 malam waktu tempatan iaitu kira-kira lebih 10 bulan selepas kapal angkasa yang dikenali sebagai projek Ujian Pengalihan Asteroid Berganda atau DART berlepas dari California, AS untuk menjalankan eksperimen pertamanya.

"Kami memulakan era baharu. Era di mana kami berpotensi mempunyai keupayaan untuk melindungi diri kami daripada sesuatu seperti kesan asteroid yang berbahaya," kata Lori Glaze iaitu Pengarah Bahagian Sains Planet NASA seperti dilaporkan AFP.

Asteroid Dimorphos adalah sepanjang 160 meter dan mengorbit sebuah asteroid besar bernama Didymos.

Permukaannya yang berbatu-batu akhirnya dapat dilihat dengan jelas dalam beberapa minit terakhir ketika DART bergerak dan menghentam ke arahnya pada kira-kira 23,500 kilometer sejam.

Apa yang pasti ialah kedua-dua asteroid itu tidak menimbulkan ancaman kepada bumi kerana ia melepasi planet tersebut dan berada pada jarak kira-kira lebih 10 juta kilometer.

NASA berharap melalui hentaman itu, asteroid tersebut akan bergerak ke orbit yang lebih kecil dan mengurangkan 10 minit masa yang diperlukan untuk mengelilingi Didymos.

Artikel Berkaitan:

Beberapa minit selepas hentaman, sebuah satelit bersaiz pembakar roti dikenali sebagai LICIACube yang telah dipisahkan daripada DART beberapa minggu lalu dijangka bergerak dekat tempat kapal angkasa tanpa juruterbang tersebut terhempas bagi merakamkan imej perlanggaran itu.

Gambar yang dirakamkan LICIACube itu dijangka dihantar semula ke bumi pada minggu depan. - Agensi