Waspada fitnah menjelang pilihan raya

Anwar (kanan) ketika berucap pada program ceramah di Alor Setar. Foto: FB Anwar Ibarhim
Anwar (kanan) ketika berucap pada program ceramah di Alor Setar. Foto: FB Anwar Ibarhim
A
A
A

ALOR SETAR - Fitnah akan terus bertebaran terutama menjelang pilihan raya umum akan datang.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sehubungan itu, rakyat harus bijak membuat penilaian dan bukan sekadar mengikut membuta tuli terhadap apa yang disampaikan terutama di media sosial.

Menurutnya, setiap maklumat yang diterima hendaklah disiasat terlebih dahulu kebenarannya.

“Dekat pilihan raya ini fitnah akan banyak. Kita perlu menilai, mendengar dan siasat, Allah SWT bagi akal fikiran untuk kita berfikir. Manfaatkan waktu untuk lihat pada fakta yang ada.

“Saya turut berpesan kepada ahli parti, jangan fitnah, jangan reka benda yang tidak ada. Hati dan perjuangan harus berdiri dengan prinsip dan akhlak,” katanya ketika berucap pada program ceramah di Pusat Khidmat Rakyat ADUN Suka Menanti pada malam Ahad.

Dalam pada itu, Anwar menyatakan sokongan terhadap kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad yang melancarkan 'Kempen Hentikan Fitnah di Media Sosial' pada Selasa lalu.

“Saya sokong kenyataan sahabat saya itu. Fitnah di mana pun tidak boleh sama ada di media sosial atau ceramah. Namun ingin saya beri nasihat kepada beliau, nasihat jugalah parti (Pas) sebab parti dia pun buat fitnah.

“Tahun lalu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tulis dalam bahasa Arab kepada semua pemimpin Islam dunia. Dikatakan Anwar sokong Yahudi, ahli Freemason yang menentang Islam serta menyokong zionis Israel. Tak kan sebab politik sampai jadi fitnah sebegini.

Artikel Berkaitan:

“Sudahlah ulama, kawan lama pula. Semua orang nak menang, tapi kalau menang dengan menipu, fitnah atau khianat. Itu tidak boleh,” tegas beliau.

Ahli Parlimen Port Dickson itu menegaskan, selepas membuat penjelasan berhubung kekeliruan berkenaan selama setahun, namun sehingga kini tiada permohonan maaf dibuat Abdul Hadi.

“Saya tak mahu buruk sangka dan andaikan beliau tersilap, sebab ada individu bernama Anwar Ibrahim seorang ahli Freemason dari Kanada.

“Saya pun dedahkan perkara itu bahawa Anwar yang dimaksudkan bukan saya, janganlah fitnah. Tak mahu sokong saya, tak mengapa. Janganlah label saya ejen Yahudi, ahli Freemason, itu fitnah. Sampai hari ini Abdul Hadi tak tarik balik kenyataan itu. Kalau Idris berani tolonglah nasihat Presiden kamu,” ujarnya.

Menurut Anwar, biarpun tiada permohonan maaf daripada Ahli Parlimen Marang itu, beliau tidak berhasrat untuk mengemukakan saman berhubung kes berkenaan.

“Saya tak mahu bergaduh, saya pernah berkawan dengan Abdul Hadi. Dia pun pernah sokong saya dulu. Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor macam abang saya, saya hormat dan muliakan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai tokoh besar,” katanya lagi.

Anwar turut merujuk kepada kes penyelesaian di luar mahkamah membabitkan Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown yang mengesahkan menerima RM1.4 juta daripada Abdul Hadi untuk menyelesaikan kes saman berhubung penerimaan wang daripada UMNO.

“Itu hanyalah dua contoh kes yang berlaku, satu libatkan fitnah terhadap saya dan satu lagi gambarkan sikap sebenar pemimpin Pas,” kata beliau.