Maut dirempuh ketika berhenti di bahu jalan

Kemalangan yang menyebabkan seorang lelaki maut di Kampung Merkang, Pasir Puteh pada Ahad. - Foto PDRM
Kemalangan yang menyebabkan seorang lelaki maut di Kampung Merkang, Pasir Puteh pada Ahad. - Foto PDRM
A
A
A

PASIR PUTEH - Seorang penunggang motosikal maut dipercayai dirempuh ketika berhenti di bahu jalan dalam kejadian di Kampung Merkang di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, lelaki berusia 31 tahun itu bagaimanapun meninggal dunia pada jam 12.15 tengah malam di Hospital Tengku Anis di sini semasa menerima rawatan.

"Siasatan awal mendapati kemalangan tersebut berlaku pada jam 8 malam apabila sebuah kereta jenis Proton Waja dari arah Kampung Merkang menghala ke Baroh Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) telah merempuh mangsa yang sedang berhenti di bahu jalan sebelah kiri," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, pelanggaran itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan terbabit diminta menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Zaizul Rizal berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan: