Ismail Sabri tiba di Abu Dhabi untuk lawatan kerja

Pesawat yang membawa perdana menteri dan delegasi mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi pada 8.25 pagi waktu tempatan.
Pesawat yang membawa perdana menteri dan delegasi mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi pada 8.25 pagi waktu tempatan.
A
A
A

ABU DHABI, UAE - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Abu Dhabi untuk mengadakan lawatan kerja empat hari ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula Isnin.

Pesawat yang membawa perdana menteri dan delegasi mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi pada 8.25 pagi (12.20 tengah hari waktu Malaysia).

Ketibaan beliau disambut Menteri Tenaga dan Infrastruktur UAE, Suhail Mohammed Al Mazrouei; Duta UAE ke Malaysia, Khalid Ghanim Mohammed Alghaith dan Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar.

Ismail Sabri akan memulakan lawatan beliau pada Isnin dengan melawat Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) yang fokus utama ialah potensi kerjasama antara ADNOC dan Petronas Malaysia dalam bidang minyak dan gas serta tenaga boleh diperbaharui.

Pada sebelah petang, perdana menteri dijangka mengadakan pertemuan dengan Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, di Istana Presiden di Abu Dhabi.

Ia merupakan pertemuan pertama antara kedua-dua pemimpin sejak pelantikan Sheikh Mohamed sebagai Presiden baharu UAE pada 14 Mei.

Agenda perbincangan utama antara kedua-dua pemimpin ialah meneroka bidang kerjasama berpotensi untuk mengukuhkan lagi kerjasama yang telah lama terjalin dalam pelbagai bidang antara Malaysia dan UAE.

Antara bidang tumpuan baharu ialah ekonomi digital, keselamatan makanan, pendigitalan pendidikan dan tenaga boleh diperbaharui serta penyertaan Malaysia dalam Program Legasi 5 Tahun.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama serta ummah.

Pada Selasa, perdana menteri dijadual menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman antara Ranhill Utilities dan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC - MASDAR.

Pada 2021, UAE adalah rakan dagangan terbesar Malaysia, destinasi eksport kedua terbesar dan sumber import kedua terbesar dalam kalangan negara Asia Barat.

Bagi tahun 2021, nilai keseluruhan perdagangan Malaysia dengan UAE meningkat sebanyak 7.9 peratus kepada RM22.29 bilion (AS$5.38 bilion) berbanding RM20.65 bilion (AS$4.93 bilion) pada 2020. - Bernama