Ismail Sabri berlepas ke UAE dari New York

Ismail Sabri ketika tiba di Lapangan Terbang John F Kennedy bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77 pada Rabu lalu. - Foto Bernama
Ismail Sabri ketika tiba di Lapangan Terbang John F Kennedy bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77 pada Rabu lalu. - Foto Bernama
A
A
A

NEW YORK - Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berlepas ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Ahad selepas mengakhiri lawatan kerja empat hari ke Amerika Syarikat di mana beliau berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).

Beliau tiba di bandar raya ini pada Khamis bagi menyertai pemimpin dunia lain dari lebih 150 negara pada Sesi ke-77 UNGA.

Berucap dalam Bahasa Melayu, yang julung kali digunakan oleh pemimpin Malaysia di UNGA, Ismail Sabri menyampaikan Kenyataan Negara pada Jumaat yang menyaksikan beliau menyentuh pelbagai isu antarabangsa termasuk konflik di Ukraine, Myanmar dan Palestin selain sekuriti makanan serta perubahan iklim.

Beliau turut mencadangkan pewujudan Mekanisme Kerjasama Monetari Antarabangsa susulan peningkatan inflasi di peringkat global.

Ini merupakan penampilan kedua Perdana Menteri di PBB selepas menghadiri sesi ke-76 secara maya tahun lepas susulan pandemik Covid-19.

Di luar UNGA, Perdana Menteri bertemu Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, rakan sejawat beliau dari Belanda iaitu Mark Rutte dan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres.

Semasa di New York, beliau turut menjadi tuan rumah majlis makan malam Keluarga Malaysia untuk diaspora Malaysia di Amerika Syarikat.

Bahagian kedua lawatan kerja Ismail Sabri ialah kunjungan empat hari ke UAE dari 26 hingga 29 September.

Artikel Berkaitan:

Beliau dijadual melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan di Istana Presiden di Abu Dhabi pada Isnin.

Ini merupakan pertemuan pertama kedua-dua pemimpin sejak pelantikan Sheikh Mohamed sebagai Presiden UAE yang baharu pada 14 Mei lepas.

Agenda perbincangan utama antara kedua-dua pemimpin ialah meneroka bidang kerjasama berpotensi untuk terus memperkukuh jalinan pelbagai usaha sama yang sudah lama terjalin antara Malaysia dan UAE.

Sepanjang lawatan itu, Ismail Sabri dijadual berkunjung ke Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) di mana tumpuan utama ialah potensi kolaborasi antara syarikat tersebut dan Petronas (Petroliam Nasional Bhd) dalam bidang minyak dan gas serta tenaga boleh diperbaharui.

Pada 2021, UAE adalah rakan dagangan terbesar Malaysia, destinasi eksport kedua terbesar dan sumber import kedua terbesar dalam kalangan negara Timur Tengah.

Bagi tahun 2021, nilai keseluruhan perdagangan Malaysia dengan UAE meningkat sebanyak 7.9 peratus kepada RM22.29 bilion (AS$5.38 bilion) berbanding RM20.65 bilion (AS$4.93 bilion) pada 2020. - Bernama