Lebih 90 peratus keracunan berlaku di rumah: Saifuddin

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyampaikan ucapan perasmian pada Karnival Kediaman Selamat Peringkat Negeri, hari ini. - Foto Bernama
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyampaikan ucapan perasmian pada Karnival Kediaman Selamat Peringkat Negeri, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

GEORGE TOWN - Kira-kira 93 peratus kes keracunan yang direkodkan di negara ini berlaku di rumah, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Katanya statistik Pusat Racun Negara itu dicatatkan bagi tempoh 1993 hingga tahun lepas.

Sehubungan itu katanya, kementerian akan mempergiat kempen kesedaran mengenai keracunan di rumah ke seluruh negara, melibatkan semua lapisan masyarakat.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Kediaman Selamat peringkat negeri Pulau Pinang di perkarangan Masjid Al-Huda, Sungai Ara di sini hari ini.

Menurutnya beliau juga akan membincangkan isu tersebut dengan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Yeo Bee Yin serta Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam usaha menyebarluaskan kempen.

Statistik itu antara lain menyatakan 66 peratus kes dicatatkan bagi keracunan tidak sengaja membabitkan produk bahan kimia isi rumah (33 peratus) dan ubat-ubatan (33 peratus).

Selain itu, sebanyak 46 peratus kes keracunan tidak sengaja melibatkan kanak-kanak berumur 1-9 tahun dan 54 peratus kes melibatkan keracunan produk bahan kimia isi rumah membabitkan produk pencuci dan peluntur. - Bernama

Artikel Berkaitan: