Momen indah Azizulhasni kongsi pentas bersama Nicol, Chong Wei

Azizulhasni (kiri) bersama Nicol (tengah) dan Chong Wei pada majlis penutup Sukma 2022. Foto FB Azizulhasni Awang
Azizulhasni (kiri) bersama Nicol (tengah) dan Chong Wei pada majlis penutup Sukma 2022. Foto FB Azizulhasni Awang
A
A
A

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang meluahkan rasa gembira dan bangga dapat berdiri di pentas sama dengan dua legenda sukan negara pada majlis penutup temasya Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 pada Sabtu.

Terkenal dengan jolokan The Pocket Rocketman bersama-sama legenda badminton, Datuk Lee Chong Wei serta ratu skuasy, Datuk Nicol David diberi penghormatan untuk menyerahkan trofi kepada pemenang hadiah utama temasya itu.

Ia merupakan trofi buat atlet terbaik lelaki, wanita serta juara keseluruhan edisi kali ini iaitu kontinjen Johor dalam majlis yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Sabtu.

“Malam tadi (Sabtu) berkesempatan berkongsi pentas dengan dua lagi legenda sukan Malaysia @nicoldsquash @leechongweiofficial pada majlis penutup Sukma.

“Sentiasa gembira melihat dua kawan saya yang hebat ini dan kami juga bersembang yang bermanfaat," tulisnya di Facebook.

Azizulhasni turut mengucapkan tahniah kepada kontinjen Johor dan berharap ia dapat memberi memberi inspirasi kepada negeri lain untuk bekerja lebih gigih dan berdaya saing pada masa depan.

Kepada semua pemenang, syabas, terus bekerja keras dan kekal konsisten. Kepada mereka yang tidak berjaya mendapat sebarang pingat, lakukan perubahan yang diperlukan.

“Jangan berputus asa dan berusaha untuk menjadi lebih baik,” ujar Azizulhasni

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Chong Wei juga berkongsi kegembiraan sama di laman sosialnya dan turut mengucapkan tahniah kepada semua atlet menyertai Sukma pada edisi kali ini.

“Kami sudah biasa menerima pingat di podium. Kali ini kami memberi pingat.

“Tahniah kepada setiap individu dan pasukan yang mempamerkan prestasi terbaik di Sukma 2022. Jangan lupa langkah seterusnya, lakukan yang terbaik untuk negara anda! Tahniah sekali lagi!,” katanya.

Johor muncul juara Sukma buat kali pertama selepas mengutip 77 pingat emas, 52 perak dan 43 gangsa pada temasya dwi tahunan itu.

Kutipan pingat itu jauh meninggalkan pencabar terdekat di tempat kedua iaitu Terengganu menerusi 64 emas, 49 perak dan 56 gangsa.

Wilayah Persekutuan menghuni tempat ketiga dengan 55 emas, 68 perak dan 64 gangsa.

Atlet Johor, Muhammad Fakhrullah Mohd Rumaize, 21, dari sukan kanu dinobatkan sebagai olahragawan apabila bukan sahaja menyambar sembilan emas, malah turut memecahkan dua rekod kebangsaan acara K2 500 meter (m) dengan catatan baharu satu minit 43.045 saat (s) serta K2 1000m (3:35.500s).

Azizulhasni (kiri) menyampaikan trofi atlet lelaki terbaik Sukma MSN 2022 kepada Muhammad Fakhrullah. - Foto Facebook Azizulhasni Awang
Azizulhasni (kiri) menyampaikan trofi atlet lelaki terbaik Sukma MSN 2022 kepada Muhammad Fakhrullah. - Foto Facebook Azizulhasni Awang

Perenang berusia 16 tahun, Tan Rouxin dari Johor pula dijulang sebagai olahragawati setelah menampilkan penguasaan di kolam renang dengan enam emas, satu perak dan satu gangsa.