Bintang Syihan mula menyinar pada usia 17 tahun: Rajagobal

Syihan bakal menjadi benteng terakhir skuad Harimau Malaya pada aksi final Piala Raja Thailand menentang Tajikistan di Chiang Mai malam ini. Foto Agensi. (Gambar kecil: Rajagobal)
Syihan bakal menjadi benteng terakhir skuad Harimau Malaya pada aksi final Piala Raja Thailand menentang Tajikistan di Chiang Mai malam ini. Foto Agensi. (Gambar kecil: Rajagobal)
A
A
A

KETIKA aksi cemerlang penjaga gol skuad Harimau Malaya dalam saingan Piala Raja Thailand di Chiang Mai, ada satu watak penting yang membawa Ahmad Syihan Hazmi menyertai pasukan kebangsaan sembilan tahun lalu.

Penjaga gawang Negeri Sembilan FC itu diperkenalkan oleh pengendali, Datuk K Rajagobal bagi membawa cabaran Malaysia menentang Palestin dalam satu perlawanan amal pada 2013.

Semasa itu, Syihan baru sahaja berumur 17 tahun dan ia merupakan penampilan senior pertamanya, namun ia tidak dikira debut kerana hanyalah satu perlawanan amal.

Dalam perlawanan tersebut, Rajagobal mendedahkan bahawa Syihan berjaya menyelamatkan penalti pasukan Palestin dan beliau sentiasa percaya mengenai kebolehan penjaga gol itu.

”Ia adalah perlawanan amal menentang Palestin. Jika saya tidak silap, dia juga telah menyelamatkan penalti pada perlawanan itu.

"Saya sentiasa sangat percaya untuk memberi peluang kepada pemain muda, pasti dia berhak mendapat peluang itu,” ciap Rajagobal di laman Twitternya.

Syihan membantu skuad bimbingan Kim Pan-gon mara ke pentas final Piala Raja Thailand setelah membenam skuad tuan rumah 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada masa sebenar.

Pemain berusia 26 tahun itu bertindak cemerlang apabila menyelamatkan empat percubaan berbahaya Thailand termasuk menafikan sepakan penalti pemain lawan.

Artikel Berkaitan:

Rajagobal turut memberikan kredit kepada bekas jurulatih penjaga gol Malaysia, Faozi Mukhlas yang membantu dan melatih Syihan di kem skuad kebangsaan.

Kredit diberikan kepada jurulatih penjaga gol saya, Faozi Mukhlas,” katanya.

Perlawanan yang diadakan pada tahun 2013 itu menyaksikan Malaysia tewas 0-2 kepada Palestin dan Syihan dimasukkan pada minit ke-90 perlawanan untuk menggantikan Norazlan Razali.

Skuad Harimau Malaya akan menentang Tajikistan yang menghuni ranking ke-109 pada aksi final di Stadium 700th Anniversary, Chiang Mai malam ini.