Ismail Sabri adakan lawatan kerja ke UAE

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan lawatan kerja ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 26 hingga 29 September.

Sempena lawatan itu beliau dijadual bertemu Presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan di Istana Presiden di Abu Dhabi.

Pertemuan itu adalah yang pertama antara kedua-dua pemimpin sejak Sheikh Mohamed dilantik sebagai Presiden UAE pada 14 Mei lalu.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan, agenda perbincangan utama antara kedua-dua pemimpin termasuk meneroka bidang kerjasama berpotensi bagi mengukuhkan lagi kerjasama yang telah lama terjalin dalam pelbagai bidang antara Malaysia dan UAE.

Antara bidang tumpuan baharu ialah ekonomi digital, keselamatan makanan, pendigitalan pendidikan, tenaga boleh baharu serta penyertaan Malaysia dalam Program Legasi 5-Tahun.

Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama dan Ummah.

Ismail Sabri juga akan melawat Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) dengan fokus utama ialah prospek kerjasama antara ADNOC dan PETRONAS dalam bidang minyak dan gas serta tenaga boleh baharu, menurut kenyataan itu.

Pada 2021, UAE merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia, destinasi eksport kedua terbesar dan sumber import kedua terbesar dalam kalangan negara Asia Barat. Untuk tahun 2021, jumlah dagangan Malaysia dengan UAE meningkat 7.9 peratus kepada RM22.29 bilion (AS$5.38 bilion) daripada RM20.65 bilion (AS$4.93 bilion) pada 2020.

Artikel Berkaitan:

Perdana Menteri akan diiringi Timbalan Menteri Luar dan pegawai kanan kerajaan. - Bernama