Menteri Besar ucap tahniah Johor juara Sukma 2022

Kontinjen Johor mencipta sejarah muncul juara Sukma MSN 2022 Kuala Lumpur. (Gambar kecil: ONN HAFIZ)
Kontinjen Johor mencipta sejarah muncul juara Sukma MSN 2022 Kuala Lumpur. (Gambar kecil: ONN HAFIZ)
A
A
A

MENTERI Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengucapkan tahniah dan syabas kepada atlet Johor di atas kejayaan menjadi juara buat pertama kalinya dalam tempoh 36 tahun penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 Kuala Lumpur.

Onn Hafiz menerusi catatan di laman Facebooknya pada Sabtu berkata, pencapaian meraih 77 pingat emas, 52 perak dan 43 gangsa itu, merupakan detik cukup bersejarah dan membanggakan.

"Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua atlet, barisan kejurulatihan, pihak pengurusan, Majlis Sukan Negeri Johor serta semua pihak yang menyumbang dalam kejayaan cemerlang kontinjen Johor.

"Insya-ALLAH kerajaan negeri akan mengiktiraf dan memberi penghargaan sewajarnya kepada semua atlet dan kontinjen Johor yang mengharumkan nama negeri," katanya.

Onn Hafiz turut mengambil kesempatan menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan keluarga Diraja Johor yang tidak henti mendoakan dan memberikan semangat kepada kontinjen Sukma Johor.

"Terima kasih juga saya ucapkan kepada mereka yang hadir memberikan sokongan kepada atlet kita sepanjang temasya ini.

"Insya-ALLAH kerajaan negeri sedang merancang sesuatu untuk meraikan kejayaan ini bersama," katanya.

Artikel Berkaitan: