Polis rampas rokok seludup RM1.9 juta

Anggota polis memeriksa belakang sebuah lori yang membawa rokok seludup selepas menahannya berhampiran lampu isyarat simpang empat Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, Kota Tinggi pada Sabtu.
Anggota polis memeriksa belakang sebuah lori yang membawa rokok seludup selepas menahannya berhampiran lampu isyarat simpang empat Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, Kota Tinggi pada Sabtu.
A
A
A

KOTA TINGGI - Polis menahan sebuah lori dipandu seorang lelaki dan merampas rokok bernilai RM1.9 juta berhampiran lampu isyarat simpang empat Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, dekat sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, sepasukan anggota Unit Risikan Pasukan Simpanan Persekutuan dan Unit Berkuda Pasukan Simpanan Persekutuan, Bukit Aman menahan lori itu pada jam 1.30 pagi.

"Hasil pemeriksaan dalam ruangan belakang lori jenis Hino itu telah menjumpai 131 kotak besar rokok putih dan 92 kotak besar rokok kretek yang disyaki tiada duti kastam.

"Nilai rampasan rokok RM1,906,100 dan bekalan rokok berkenaan dipercayai diseludup dari negara luar melalui jalan laut. Pemandu lori berusia 40 tahun turut ditahan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, tidak berapa lama kemudian datang sebuah kereta Toyota Vios dipandu seorang lelaki berusia 20-an dan turut menahan lelaki berkenaan yang disyaki menjadi tonto.

Hussin memberitahu, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM2 juta.

"Polis Kota Tinggi memberi amaran keras dan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan rokok," katanya.

Ujar beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan boleh didenda 10 kali ganda nilai harga barang atau RM100,000 yang mana jumlah lebih tinggi dan tidak lebih 20 kali ganda nilai harga barang atau RM500,000 yang mana jumlah lebih tinggi atau penjara sehingga enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan: