RM97,000 dikutip tidak sampai 24 jam

Misi bantuan dilancar bagi mengurangkan beban keluarga mangsa.
Misi bantuan dilancar bagi mengurangkan beban keluarga mangsa.
A
A
A

SHAH ALAM - Derma kilat di bawah Founder Misi dilancarkan bagi mengumpul sumbangan buat seorang penghantar makanan yang maut dan seorang penghantar cedera parah dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Meru-Jalan Haji Sirat pada Jumaat.

Pengendali Facebook Founder Misi, Nor Ahmad Faiz Mohd Adli, 31, berkata, tabung itu dibuka jam 10 malam pada Jumaat bagi meringankan beban keluarga kedua-dua mangsa.

Menurutnya, hampir RM97, 000 berjaya dikumpulkan setakat jam 5 petang, Sabtu daripada 6,656 penyumbang.

"Kita sasarkan kutipan sehingga RM200, 000 sebelum tabung ditutup pada jam 12 tengah hari (Ahad).

"Kemudian pada jam 3 petang hari sama, kita akan melawat keluarga mangsa untuk menyerahkan sumbangan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Dalam kejadian itu, kedua-dua mangsa yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat telah dirempuh dua kereta jenis Nissan X-Trail yang bergeser dan terbabas ketika mahu membelok ke kanan.

Nor Ahmad Faiz berkata, misi bantuan itu adalah kali kedua dilancarkan selepas tabung banjir Selangor tahun lepas yang berjaya mengutip RM1 juta dalam masa 24 jam.

Ulasnya, derma kilat buat mangsa kemalangan itu adalah atas inisiatif sendiri sebagai tanda prihatin dan dibuat tanpa pengetahuan keluarga mangsa.

Artikel Berkaitan:

"Saya ada isteri dan keluarga, jadi situasi mangsa dekat di hati saya. Sebab itu saya keluarkan idea untuk bantu keluarga mangsa yang mungkin terputus punca pendapatan sekarang.

"Keluarga masih bersedih jadi saya tak berani mahu ganggu mereka tapi kita faham pastinya mereka memerlukan bantuan," katanya.

Katanya, kutipan itu dibuat secara telus dengan nama penyumbang serta transaksi dipaparkan bagi memberikan keyakinan orang awam untuk sama-sama menghulurkan sumbangan.

"Kebetulan saya pempengaruh dan mempunyai pengikut yang ramai, jadi kelebihan itu saya gunakan untuk bantu orang memerlukan.

"Dengan sistem yang betul, kita boleh hidupkan sifat kemanusiaan dalam diri semua orang. Saya terharu dengan sikap orang Malaysia yang sedia untuk membantu mereka yang memerlukan," katanya.