Pas berjaya kembalikan kepercayaan rakyat terhadap Tabung Haji

Ketua Pemuda Pas Selangor, Hanafi Zulkapli.
Ketua Pemuda Pas Selangor, Hanafi Zulkapli.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Usaha Pas mengembalikan semula kepercayaan rakyat terhadap Tabung Haji (TH) didakwa berhasil terutama selepas parti tersebut mentadbir institusi hal ehwal agama di negara ini.

Naib Ketua Pemuda Pas, Hanafi Zulkapli berkata, segala pengurusan dan perjalanan urusniaga TH telah dipantau malah aset-aset yang berpotensi dipulihkan, dikekalkan hak milik dan dibatalkan penjualan.

“TH terus melabur dalam pelaburan yang strategik, menghasilkan keuntungan yang besar untuk separuh pertama tahun ini.

“Ini semua berlaku atas kepercayaan rakyat yang kembali diperoleh, hasil usaha keras 'lebai-lebai' menyelia institusi hal ehwal Islam termasuk TH,” katanya.

Tambah Hanafi, TH pada Jumaat mengumumkan keuntungan separuh pertama tahun 2022 sebanyak RM1.47 bilion, dengan keuntungan bersih sebanyak RM1.03 bilion selepas ditolak peruntukan zakat.

“Keuntungan ini disumbangkan oleh peningkatan mendadak jumlah deposit dengan nilai terkini RM88.09 bilion, paras tertinggi yang pernah direkodkan TH sejak 59 tahun penubuhannya

“Bagaimana jumlah deposit TH boleh meningkat sebegitu tinggi? Jawapannya adalah disebabkan kembalinya kepercayaan rakyat dan pendeposit kepada TH terutama selepas Pas mentadbir institusi hal ehwal agama,” katanya.

Menurutnya, antara yang membantu dalam usaha memperbetulkan segala persepsi yang membelenggu TH adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Artikel Berkaitan:

“Rekod menunjukkan lebih daripada 200,000 akaun simpanan baharu telah dibuka menjadikan jumlah keseluruhan pendeposit TH kini mencapai 8.6 juta orang.

“Sebelum mendapat mandat, TH dituduh oleh mereka sebagai institusi kewangan yang korup, penuh ketirisan dan penyelewengan.

“Dek tuduhan mereka, rakyat yang terperdaya bertindak mengeluarkan wang deposit disimpan bertahun-tahun, semata-mata kerana tuduhan yang tidak dibuktikan,” katanya.