Agensi K-KOMM sebar maklumat terkini persediaan banjir

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

ALOR SETAR - Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) akan memainkan peranan yang tersendiri menerusi pelbagai agensi di bawahnya bagi menghadapi kemungkinan bencana banjir ekoran Monsun Timur Laut tahun ini.

Ketua Setiausaha K-KOMM, Datuk Seri Mohammad Mentek berkata, antara peranan itu termasuklah membuat hebahan kepada orang ramai berkenaan maklumat terkini banjir dan kawasan berisiko dilanda bencana itu.

"Satu daripada tugas utama kami di K-KOMM melalui agensi kami iaitu Jabatan Penerangan, Jabatan Penyiaran termasuklah RTM dan juga Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) akan sentiasa menghebahkan maklumat terkini berhubung kawasan yang mungkin dilanda banjir.

"Maklumat ini kami sama-sama menyebarluaskan supaya penduduk yang mungkin akan terlibat dan terkesan dengan banjir dapat membuat persediaan lebih awal,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) K-KOMM 2021 Zon Utara di sini, pada Sabtu.

Katanya, bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan keadaan cuaca dan banjir untuk dihebahkan kepada orang ramai, K-KOMM bekerjasama dengan agensi berkaitan iaitu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Meteorologi Malaysia.

"Kami juga telah berbincang dengan barisan hadapan kami iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan juga Angkatan Pertahanan Awam supaya pasukan pemberita boleh sama-sama terlibat untuk buat tinjauan di kawasan banjir bagi mendapatkan maklumat dan menghebahkan kepada orang ramai,” katanya.

Selain itu, Mohammad berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia pula akan bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan telekomunikasi supaya maklumat terkini berkaitan banjir dapat dihebahkan dengan lebih pantas menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Terdahulu, seramai 50 warga kerja pelbagai agensi di bawah K-KOMM di Zon Utara menerima APC 2021 yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarang, Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama yang juga menanggung tugas sebagai Ketua Pengarang, Jamaluddin Muhammad. - Bernama

Artikel Berkaitan: