KPM, kumpulan pelbagai latar belakang perlu jalin kerjasama

Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin
Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) mestilah bekerjasama dengan pelbagai kumpulan sokongan bagi memastikan kemajuan sistem pendidikan negara, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Beliau berkata, sektor pendidikan tidak seharusnya mendiskriminasi berdasarkan latar belakang, supaya lebih banyak bilangan dan kepelbagaian idea boleh dimanfaatkan untuk menambah baik sektor itu.

Ketika ada sesetengah orang yang mengatakan pendidikan kita ke belakang, saya terus mengatakan bahawa kita tidak ke belakang, tetapi kita dalam keadaan stagnant (tiada pergerakan) untuk beberapa tahun kebelakangan ini.

"Kami sebagai satu kementerian tidak boleh melakukannya sendiri. Kami memerlukan sokongan dari semua pihak di luar sana yang mahu bekerjasama dengan kami,” katanya ketika berucap pada Sambutan Ulang Tahun Teach for Malaysia (TFM) Ke-10, di sini pada Sabtu.

Radzi berkata, TFM telah melaksanakan usaha yang baik untuk 10 tahun ini dengan mewujudkan kerjasama dengan 893 sekolah di setiap negeri dengan merekrut, melatih dan menempatkan ratusan guru di sekolah-sekolah berkenaan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara.

Beliau berkata, terdapat lebih lima juta pelajar di seluruh negara melibatkan kira-kira 10,000 buah sekolah dengan lebih 500,000 orang guru yang membentuk ekosistem pendidikan yang kompleks.

"Kami (pihak kementerian) mempunyai sekolah dari Perlis ke Sabah, di kawasan luar bandar dan bandar serta kawasan terpencil dan kami mempunyai guru dari semua latar belakang,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi dan Pengasas TFM, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz menzahirkan kegembiraan baginda terhadap kemajuan yang telah dicapai organisasi itu, yang telah berkembang sebagai satu gerakan dengan 474 orang pemimpin kompeten yang berusaha ke arah menamatkan ketidaksamaan pendidikan. - Bernama

Artikel Berkaitan: