'Warisan 'parti nyamuk' mampu tumbangkan BN'

Mohd Shafie ketika bertemu rakyat di Parlimen Lahad Datu pada Sabtu.
Mohd Shafie ketika bertemu rakyat di Parlimen Lahad Datu pada Sabtu.
A
A
A
LAHAD DATU - Parti Warisan (Warisan) yakin mampu menumbangkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)- BN sebagaimana dilakukan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, beliau sedar bahawa Warisan hanya sebuah parti kecil namun pernah membuktikan berjaya menumbangkan BN pada PRU lalu.

"Kita parti nyamuk, parti yang kecil tetapi parti yang kecil inilah yang telah menumbangkan BN. Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak ada ubahnya dengan BN dulu, cuma bajunya ditukar. Dulu cuma satu bajunya biru, sekarang ini ada merah, ada oren ada Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), semuanya dalam BN.



"Jadi kita sudah biasa dengan keadaan yang berlaku, tanpa ada gabungan. Saya di Semporna ditentang beberapa penjuru tetapi Alhamdulillah kita menang," katanya kepada pemberita di program beramah mesra bersama masyarakat Parlimen Lahad Datu pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas GRS yang sebelum ini menyatakan bahawa mereka yakin mampu merampas kembali kerusi di Parlimen Lahad Datu.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata, rakyat berhak menentukan siapa yang akan menjadi kerajaan untuk Sabah pada PRU akan datang.
Artikel Berkaitan:


"Yang menentukan siapa jadi kerajaan bukan GRS, yang menentukan siapa jadi kerajaan di Sabah, siapa yang jadi YB (wakil rakyat) di Sabah ialah rakyat di Sabah.

"Kita tunggu apa keputusan rakyat, kita sedar kita parti yang kecil, kita parti nyamuk tetapi parti nyamuk inilah yang menumbangkan BN di Sabah," tegasnya.