Jakim disyor perkenal SKM pendidikan Islam untuk OKU

Idris Ahmad
Idris Ahmad
A
A
A

KENINGAU - [DIKEMAS KINI] Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) di bawah jabatan itu disyor supaya memperkenalkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) pendidikan Islam bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) seperti pendengaran, penglihatan, pertuturan dan autisme.

Mengesyorkan perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, ia selaras dengan usaha Jakim yang telah melancarkan aplikasi Glosari Islam (I-Sign) kepada golongan OKU pendengaran.

"Justeru, kejayaan ini perlu disusuli dengan menyediakan tenaga pengajar mahir untuk memenuhi keperluan pendidikan Islam bagi komuniti OKU. Ini adalah tanggungjawab kita bagi memenuhi keperluan fardu kifayah,” katanya berucap merasmikan Istiadat Konvokesyen Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) Kali Ke-16 di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah, Datuk Saifulzaman Sangul.

Sehubungan itu, Idris turut mencadangkan IPDAS menjalin kerjasama dengan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu sebagai rakan industri bagi melaksanakan program tersebut memandangkan masjid berkenaan telah membuktikan kejayaan mengendalikan pendidikan Islam kepada anak-anak OKU sejak 2015.

Idris juga berharap fokus IPDAS tidak hanya tertumpu kepada pendidikan dalam bilik kuliah semata-mata sebaliknya aktiviti atau program pengajian sepanjang hayat perlu dikembangkan selaras dengan kehendak pihak berkepentingan dalam menyantuni pelbagai lapisan masyarakat.

Beliau berkata, kemudahan Pembelajaran Jarak Jauh Dalam Talian dan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sewajarnya dimanfaatkan bagi membuka ruang seramai mungkin pelajar dewasa untuk mengikuti pendidikan Islam tahap tinggi.

"Tambahan pula kerajaan Sabah telah memperkenal Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) Halal Hab, maka ada keperluan signifikan untuk IPDAS berperanan melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang halal bagi melengkapkan ekosistem itu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, IPDAS perlu bergerak seiring gagasan Sabah Maju Jaya diperkenal kerajaan negeri yang antara lain menekankan aspek pembangunan modal insan dan ekonomi.

Sementara itu, Idris berkata, pembangunan infrastruktur IPDAS melalui projek Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang telah diluluskan adalah bukti kerajaan amat serius untuk mengangkat agenda pendidikan agama, dan beliau yakin projek dijadual dimulakan pada awal tahun depan itu akan berjalan lancar melalui pengurusan berintegriti yang akan mengukuhkan lagi IPDAS sebagai PPT Jakim di persada negara.

Pada majlis istiadat konvokesyen itu, seramai 244 graduan berjaya menamatkan pengajian dengan 83 daripadanya merupakan graduan Diploma Dakwah Islamiyyah, 23 graduan Sijil Pengajian Islam manakala 138 graduan Sijil Asas Pengajian Islam Malaysia.

IPDAS telah melahirkan seramai 15,526 siswazah sejak 1979 hingga kini. - Bernama