Penghantar makanan maut: Dua pemandu SUV negatif dadah

Laporan Sinar Harian pada Jumaat. Gambar kecil: Vijaya Rao
Laporan Sinar Harian pada Jumaat. Gambar kecil: Vijaya Rao
A
A
A

KLANG - Dua pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan X-Trail yang mengakibatkan kemalangan maut seorang penghantar makanan di sini pada Jumaat bebas daripada penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, ujian saringan air kencing telah dijalankan selepas penahanan dua pemandu lelaki dan wanita terbabit.

"Hasil ujian mendapati dua pemandu berusia 20 dan 24 tahun itu negatif dadah.

"Kedua-dua mereka kemudian telah dilepaskan dengan jaminan polis setelah keterangan direkodkan pegawai penyiasat kes," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Vijaya Rao berkata, kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPR) setelah siasatan lengkap untuk arahan lanjut.

Menurutnya, polis juga meminta pemilik rakaman kamera papan pemuka sebuah kenderaan di lokasi kejadian untuk tampil membantu siasatan polis.

Keadaan motosikal mangsa kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Meru-Jalan Haji Sirat, Klang pada Jumaat yang mengakibatkan seorang penghantar makanan maut. -Foto:Facebook
Keadaan motosikal mangsa kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Meru-Jalan Haji Sirat, Klang pada Jumaat yang mengakibatkan seorang penghantar makanan maut. -Foto:Facebook

"Pemilik rakaman atau orang awam yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Fadli Ismail di talian 017-2141318," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian pada jam 2.30 petang Jumaat, seorang penghantar makanan berusia 34 tahun maut manakala seorang penunggang motosikal parah dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Meru-Jalan Haji Sirat dekat sini.

Kemalangan terbabit melibatkan dua buah kenderaan Nissan X-Trail, dua motosikal dan sebuah Proton Wira.

Kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Nissan X-Trail di lorong ketiga hendak membelok ke kanan dan tiba-tiba sebuah lagi Nissan X-Trail yang berada di lorong keempat jalan terus ke hadapan dan berlaku pelanggaran sebelum terbabas lalu merempuh dua motosikal dan sebuah kereta jenis Proton Wira.

Rempuhan itu mengakibatkan penghantar makanan meninggal dunia di tempat kejadian dan penunggang sebuah lagi motosikal lelaki berumur 29 tahun mengalami kecederaan parah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.