Kurang sihat bukan penghalang Tze Yong genggam emas

Tze Yong meraikan kemenangannya selepas menewaskan pemain dari Wilayah Persekutuan Leong Jun Hao pada perlawanan akhir badminton sempena pada Sukan Malaysia (SUKMA) Majlis Sukan Negara (MSN) 2022 di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada Sabtu. - Foto Bernama
Tze Yong meraikan kemenangannya selepas menewaskan pemain dari Wilayah Persekutuan Leong Jun Hao pada perlawanan akhir badminton sempena pada Sukan Malaysia (SUKMA) Majlis Sukan Negara (MSN) 2022 di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

BIARPUN kurang sihat, pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022, Ng Tze Yong nyata tidak menghampakan apabila menepati ramalan merangkul emas acara badminton perseorangan lelaki Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 di sini, pada Sabtu.

Pemain pilihan pertama yang mewakili Johor itu bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan bekas juara Remaja Asia 2017, Leong Jun Hao dari Wilayah Persekutuan 18-21, 21-19, 21-12 dalam pertarungan selama 80 minit di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Atlet berusia 22 tahun yang membuat penampilan kali kedua dalam Sukma berkata, beliau gembira mampu menyumbangkan pingat buat negeri kelahirannya, walaupun kesihatannya tidak berada pada tahap terbaik.

Tidak sihat sikit (batuk) namun itu bukan alasan untuk tidak memberikan yang terbaik. Saya rasa sangat bersyukur untuk pasukan Johor.

"Saya rasa dua set pertama dia (Jun Hao) main sangat laju manakala set ketiga agak perlahan namun saya tetap kekalkan kelajuan saya jadi saya rasa inilah faktor penting kenapa saya menang perlawanan ini,” katanya kepada pemberita.

Kejayaan Tze Yong hari ini menyaksikan beliau memperbaiki pencapaian di Sukma selepas tersingkir kepada pemain Pulau Pinang Tan Jia Wei seawal pusingan kedua pada edisi 2018 di Perak.

Dalam pada itu, perseorangan nombor 36 dunia itu berkata, beliau akan mewakili negara dalam saingan Masters Indonesia pada 18 hingga 23 Oktober ini, namun tidak meletakkan sebarang sasaran pada kejohanan berkenaan.

Sementara itu, pemain perseorangan wanita negara, Siti Nurshuhaini Azman dari Selangor mudah menewaskan rakan sepasukan K. Letshanaa, 21-19, 21-9, sekali gus merangkul pingat emas.

Artikel Berkaitan:

Pemain pilihan ketiga itu yang kelihatan sebak sejurus memenangi perlawanan berkata beliau tidak menyangka mampu mengalahkan pihak lawan kerana sudah lama tidak menggenggam mana-mana gelaran sebelum ini.

"Selepas ini saya akan fokus pada Kejohanan Remaja Dunia di Sepanyol (24-30 Okt) jadi saya mahu buat yang terbaik bagi penampilan sulung nanti. Namun saya perlu lebih berusaha untuk setanding dengan mereka (pihak lawan) sebab saya rasa atlet Indonesia dan Thailand yang akan beri saingan nanti,” katanya. - Bernama