Wadah berjuang gerakkan kesedaran benci rasuah

Ahmad Azam
Ahmad Azam
A
A
A

SHAH ALAM - Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) akan bekerjasama dengan pertubuhan dakwah dan organisasi sosial negara bagi menggerakkan kesedaran membenci gejala rasuah dalam kalangan umat Islam di peringkat akar umbi.

Presidennya, Datuk Ahmad Azam Ab Rahman berkata, pertubuhan itu akan terus berusaha menyedarkan bangsa Melayu tentang kerosakan yang berlaku disebabkan amalan rasuah.

“Sebagai gerakan pencerdasan, Wadah akan terus berjuang memugar kesedaran tentang maruah dan sifat tahu malu, agar bangsa ini berasa malu dengan kebobrokan di sekitarnya,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, Wadah turut menjunjung tinggi pendirian Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam titah pelancaran buku Korupsi dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu: Perlunya Disegerakan Transformasi Moral-Etika karya Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan pada Khamis.

Ujarnya, penzahiran komitmen baginda terserlah dalam titah, menyemangati suara, gerak hati dan nurani (dhamir) umat yang sudah begitu lama terhimpit oleh gejala dan bahana rasuah, penyelewengan dan pecah amanah oleh mereka yang masih dan terus bersekongkol tanpa malu dan segan silu.

“Gejala rasuah adalah seumpama racun berbahaya yang mesti dihapuskan sedaya upaya sebelum ia membarah meruntuhkan tamadun umat Malaysia.

“Sebagai gerakan dakwah, Wadah dengan penuh takzim, turut mengamīnkan doa Sultan Perak di hujung titah baginda ketika pelancaran buku tersebut,” jelas beliau.

Tambahnya, karya nukilan Muhd Kamal itu menampilkan hakikat betapa jeleknya golongan ilmuwan yang kini tampil menyatakan sikap secara terbuka, bukan sembunyi-sembunyi lagi.

Artikel Berkaitan:

“Ia juga manifestasi pernyataan sikap sekalian rakyat dari segenap golongan, meliputi pelbagai bangsa dan kecenderungan.

“Pesan guru kami, almarhum Dr Siddiq Fadzil (1947-2021), bangsa yang bermaruah adalah bangsa yang tahu malu, satu sifat yang juga sebahagian daripada jati diri bangsa,” jelas beliau.